`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, August 21, 2026

Wawasan ini parti apa sebenarnya?

 Wawasan bukan klon PAS tetapi ada 'semangat' PAS. Sama tapi tak serupa. Jika saya bimbang dengan PAS saya akan bimbang juga dengan Wawasan.

Mohsin Abdullah

Wow. Begitu reaksi saya apabila baca laporan Malaysiakini tempoh hari yang bertajuk ‘Wawasan berhasrat capai apa PAS gagal lakukan — pikat bukan Melayu untuk PN’.

Sebagai satu parti yang wujud atas ihsan PAS, saya rasa istilah ‘wow’ memang tepat. Wawasan mahu buat apa ia kata nak buat itu bagus tetapi kena hati-hati kerana silap langkah boleh dituduh nak tunjuk pandai daripada bos.

Ketua Penerangan Wawasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil tidak senang dengan tajuk yang Malaysiakini letak. Menerusi penjelasan yang dikeluarkan selepas laporan itu disiar, Fayhsal menafikan ada berkata seperti yang dimuatkan dalam tajuk laporan itu.

Beliau mendakwa apa yang dimaksudkan ialah penubuhan Wawasan bertujuan melengkap dan memperkukuh Perikatan Nasional bersama PAS dalam memperluaskan penerimaan PN dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

“Ia sama sekali bukan bermaksud Wawasan mahu menggantikan PAS apatah lagi mendakwa PAS telah gagal dalam usaha tersebut,” kata beliau.

Sememangnya PAS bukanlah naif. Sekian lama tahu ia memerlukan sokongan masyarakat bukan Melayu bukan Islam untuk memerintah negara ini.

Sejak 1956 parti itu sudah mula berfikir cara untuk mendekati orang bukan Islam. Pada artikel ini yang saya tulis tahun lalu, dihuraikan beberapa langkah yang diambil PAS, oleh itu tidak perlulah saya ulangi pada penulisan ini.

Cuma saya ingin menambah bahawa daripada tahun 1998 hingga 2008, PAS sedikit sebanyak menikmati sokongan masyarakat bukan Islam terutama orang Cina. Ketika itu PAS dipimpin Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat yang mengambil pendirian moderat meskipun mereka adalah ulama. Nik Aziz khususnya dikenali dengan pendirian progresif mengenai isu kaum.

Ketika itu dalam PAS juga ada kumpulan profesional yang mempunyai imej yang diterima masyarakat bukan Melayu-Islam. Dengan slogan ‘PAS untuk semua’ parti itu dapat menarik sokongan golongan bukan Melayu bukan Islam pada tahap yang agak memberangsangkan terutama hasil pembabitan dalam apa yang dipanggil Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Fast forward. Dengan pulangnya Fadzil Noor dan Nik Aziz ke rahmatullah serta terkeluarnya golongan profesional yang disebut tadi, PAS dilihat menampilkan imej hardline Islamists yang mengakibatkan orang bukan Melayu Islam menjauhkan diri.

Namun tidak adil jika dikata pemimpin tertinggi PAS masa kini tidak melakukan sesuatu untuk membaiki keadaan. Misalnya mereka meyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina dan berpakaian merah, dan menyertai amalan tradisi menggaul yee sang.

Bagaimanapun dalam mahu memikat orang bukan Melayu bukan Islam, PAS pada masa sama mengambil tindakan yang menakutkan golongan yang mereka mahu hampiri.

Tidak dinafikan beberapa langkah diambil di negeri-negeri diperintah PAS tidak disenangi masyarakat bukan Melayu bukan Islam, dan kenyataan pemimpin tertinggi ada yang mengguris perasaan.

Berbalik kepada Wawasan yakni laporan Malaysiakini mengenai kata-kata Fayhsal yang disebut tadi. Diulangi kata beliau, “antara nasihat yang diberi oleh (presiden PAS) Hadi Awang kepada Hamzah Zainudin perlu diwujudkan sebuah parti baru untuk melengkapi PAS dalam PN iaitu parti berbilang bangsa dan kaum.”

Bagi saya Wawasan bukan klon PAS tetapi ada ‘semangat’ PAS. Sama tapi tak serupa. Jika saya seorang bukan Melayu-Islam yang bimbang dengan PAS saya akan bimbang juga dengan Wawasan.

Begini. Menggunakan analogi sebuah syarikat besar, Wawasan saya anggap sebuah cawangan. A branch of the big company. PAS ialah ibu pejabat di mana top management runs the show and calls the shots. Lalu masakan cawangan boleh bertindak bebas tanpa merujuk HQ. Cawangan akan turuti semua arahan HQ. Tidak mungkin cawangan boleh menolak arahan HQ. Itu ringkasnya.

Ertinya jika saya orang bukan Melayu-Islam, apa yang saya khuatiri dan tidak suka dilakukan PAS akan tetap terjadi meskipun ada Wawasan kerana Wawasan tidak boleh atau tidak akan buat apa-apa untuk menghalang langkah PAS yang saya tidak senangi.

Hadi mahu parti berbilang bangsa dan kaum untuk melengkapi PAS, bak kata Fayhsal.

Tampil Setiausaha Agung Wawasan Saifuddin Abdullah semasa ditemubual oleh BFM radio pada rancangan The Breakfast Grill baru-baru ini. Kata Saifuddin, Wawasan tidak mahu jadi seperti parti-parti tertentu yang menggelar diri parti berbilang kaum atau multiracial party tetapi majoriti ahli terdiri daripada hanya satu bangsa atau kaum.

Saya tahu parti mana yang beliau rujuk. Memang ada multiracial party but with a Malay majority, Chinese majority or Indian majority. Oleh itu menurut Saifuddin, Wawasan bukan multiracial party sebaliknya Malaysian party atau parti berwajah Malaysia.

Bukankah wajah Malaysia ialah wajah kepelbagaian? Rakyat berbilang bangsa dan agama, inilah Malaysia. A Malaysian face is multiracial. Bukankah multiracial is Malaysia and Malaysia is multiracial? Bagi saya description Saifuddin mengenai partinya yakni Wawasan is a Malaysian party not multiracial party pelik dan aneh.

Mungkin ada eloknya Saifuddin pergi mengadap Hadi dan explain apa beza parti Malaysia dengan parti berbilang atau pelbagai bangsa dan agama? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.