Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata realiti baharu ialah parti-parti politik tidak lagi boleh menganggap pengundi akan sentiasa setia.

Zahid berkata realiti baharu ialah parti-parti politik tidak lagi boleh menganggap pengundi akan sentiasa setia.
“Mereka boleh membuat pilihan yang berbeza antara PRU dengan PRN, malah PRK, berdasarkan calon, prestasi kerajaan, isu tempatan, keadaan ekonomi serta keupayaan parti politik menawarkan penyelesaian,” katanya pada forum ‘Pasca-Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia’ anjuran BN.
Zahid, yang juga presiden Umno, berkata perkara itu kelihatan paling ketara dalam kalangan generasi muda.
“Sebelum ini, dikatakan golongan muda tidak menyokong kita. Tetapi sekarang, kita melihat di banyak pusat mengundi bahawa pengundi muda telah kembali kepada BN.
“(Namun) tidak lagi dapat dipastikan bahawa undi golongan muda akan kekal sebagai deposit tetap untuk mana-mana parti politik. Sebab itu, kita tidak boleh sekadar meminta generasi muda memahami sejarah perjuangan kita. Kita mesti memberi mereka sebab untuk percaya kepada masa depan yang ingin kita bina,” katanya.
Beliau berkata perkara sama turut terpakai kepada pengundi Melayu.
“Saya tidak mahu terlalu cepat mengatakan bahawa mereka telah kembali sepenuhnya kepada Umno atau BN. Mungkin mereka memberi kita satu lagi peluang, dan kepercayaan itu boleh ditarik balik jika kita gagal, menjadi leka atau mengambil mudah,” katanya.
Perkara sama juga boleh dikatakan mengenai pengundi Cina dan India, katanya, mengingatkan bahawa BN supaya tidak terlalu cepat menganggap mereka telah meninggalkan Pakatan Harapan dan kembali kepada gabungan itu dalam jumlah yang besar.
Justeru, tugas BN selepas kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar mengekalkan momentum, tetapi memahami momentum berkenaan.
Katanya, perkara itu akan membantu gabungan tersebut untuk tidak mengulangi kesilapan lalu apabila tiba pilihan raya yang lebih besar.
BN memenangi 48 daripada 56 kerusi di Johor, manakala pakatan pilihan rayanya dengan PN memperoleh 25 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan.
Pusat kajian Ilham Centre sebelum ini berkata ‘Gelombang Biru’ berpotensi menyapu sehingga 122 kerusi Parlimen di Semenanjung dan membawa kerusi-kerusi berkenaan ke dalam blok BN-Perikatan Nasional menjelang PRU akan datang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.