Kenyataan tiga wakil rakyat itu menyusul selepas Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee gesa pemimpin parti berkenaan nyata pendirian berhubung perkara terbabit.

Kenyataan mereka menyusul selepas Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee gesa pemimpin parti berkenaan nyata pendirian berhubung perkara terbabit.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mahu kerajaan menggubal undang-undang bagi menjamin setiap Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang atau bebas menerima peruntukan kawasan secara adil.
“Tidak sepatutnya bergantung kepada budi bicara perdana menteri. Sebaliknya, dana kawasan Parlimen perlu diperuntukkan dalam belanjawan tahunan dan dilaksanakan setiap tahun,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Kiandee meminta supaya wakil rakyat PKR dan Amanah menyatakan pendirian mereka selepas pemimpin DAP turut menyokong sistem peruntukan yang adil dan diinstitusikan.
Menurutnya, tuntutan itu tidak lagi hanya datang daripada Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya sudah membangkitkan isu peruntukan kepada pembangkang sejak empat tahun lalu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos mengumumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, namun menjelaskan dana berkenaan akan disalurkan secara langsung bagi memenuhi keperluan rakyat.
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan turut menyokong pengagihan peruntukan secara adil dan berharap jumlah yang diberikan kepada wakil rakyat dapat ditambah bagi memenuhi keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Penyaluran melalui Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat adalah yang terbaik kerana setiap sen yang diurus tadbirkan adalah satu tanggungjawab,” kata wakil rakyat PKR itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan daripada Amanah mahu kerajaan dan pembangkang terlebih dahulu mencapai persetujuan mengenai mekanisme pengagihan bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat.
Sany turut berpandangan jumlah peruntukan perlu mengambil kira saiz penduduk atau bilangan pengundi. Menurutnya, kawasan dengan hampir 400,000 pengundi tidak wajar dinilai dengan kaedah sama seperti kawasan sekitar 100,000 pengundi.
Beliau juga berkata penggubalan undang-undang bukan satu-satunya pilihan pada peringkat awal.
“Pada peringkat permulaan kita perlukan satu mekanisme sebelum ia mungkin diangkat menjadi satu peraturan atau undang-undang boleh diterima pakai.
“Apabila sesebuah parti memerintah, peraturan atau mekanisme inilah yang wajib digunakan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.