Memilih rakan gabungan umpama adab merisik sebelum meminang. Yang ditimbang bukan rupa atau kelebihan sementara tapi asal usul, pegangan, dan sekufu dalam tujuan.

Salah satu persoalan paling asas dalam politik gabungan ialah pembentukan pakatan, bila sebuah parti wajar berdiri sendiri, dan bila ia perlu mencari rakan. Ia bukan sekadar soal aritmetik pilihan raya, tetapi menyentuh identiti, prinsip, dan kelangsungan parti itu sendiri. Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan dan menjelang Melaka, persoalan ini kembali menjadi pusat perbincangan politik Malaysia.
Seperti dalam sebuah gelanggang pertarungan, seorang pejuang boleh naik solo, atau memilih rakan ‘tag team’ untuk bertarung bersama. Namun, persoalannya bukan sekadar sama ada hendak berganding, tetapi dengan siapa kerana rakan yang salah boleh menjatuhkan, dan rakan yang betul boleh mengekalkan juara. Politik pilihan raya kita kini berdiri di depan pilihan yang sama: solo, sepakat, atau sepayung?
Dalam masa sebulan, Barisan Nasional memenangi dua PRN dengan dua cara berbeza. Di Johor, ia berdiri sendiri dan menang besar – 48 daripada 56 kerusi, sementara Perikatan Nasional tersingkir tanpa satu kerusi pun. Di Negeri Sembilan, ia bersepakat dengan PN dan merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan. Kini Melaka menanti, dan BN mungkin sepayung pula dengan pihak yang berlainan. Satu parti, tiga model kerjasama dan setiap satu memenangi kerusi. Tetapi, satu persoalan yang menarik – bukan model mana yang memenangkan, sebaliknya model mana yang boleh bertahan.
Di sinilah ucaptama pengerusi BN – salah satu gabungan utama politik Malaysia – Zahid Hamidi di Forum BN Ke-11 menjadi titik tolak untuk membaca percaturannya. Antara semua yang diucapkannya, satu ayat meninggalkan kesan mendalam dan sepatutnya mendapat lebih tumpuan iaitu ‘hanya tujuan yang sama, bukan sekadar musuh yang sama, mampu mempertahankan kerjasama untuk jangka panjang’. Malangnya, kata-kata itu dibiarkan berlalu, sedangkan inilah asas utama untuk memahami rakan pilihan nanti.
Negeri Sembilan membuktikan bahawa persefahaman berkesan. Pada 1 Ogos, gabungan BN–PN meraih 25 daripada 36 kerusi – cukup untuk dua pertiga – menamatkan pentadbiran PH sejak 2018. Tetapi, kejayaan itu datang dengan harga yang mencetuskan keretakan terbuka dengan PH, rakan BN sendiri dalam kerajaan perpaduan. Zahid meringkaskannya dengan jujur bahawa di Putrajaya mereka sekerajaan, tetapi di Negeri Sembilan dan Johor terpaksa berlawan di gelanggang berbeza.
Di sini timbulnya persoalan. PH menyebutnya pengkhianatan tetapi BN menjawab mereka hanya bersetuju bekerjasama di peringkat persekutuan. Kedua-duanya betul dalam kerangka masing-masing, namun itulah yang menjadi tandanya. Apa yang menghubungkan mereka ialah persefahaman, bukan muafakat dan kedua-duanya berbeza: satu memenangi kerusi, satu lagi membina kepercayaan.
Dinilai secara objektif, langkah Zahid di sini boleh dilihat sebagai pergerakan strategik, bukan hanya reaksi. Apabila didesak supaya menteri BN meletakkan jawatan, beliau tidak melatah. “Pilihan raya memberi kita keputusan,” katanya dalam ucapan itu, ‘tetapi di sebalik keputusan itu ada mesej yang perlu dibaca’ dan begitulah perkiraan beliau: membaca sebelum bersuara, mengekalkan Putrajaya melalui PH, memenangi negeri melalui PN, dan mengukuhkan kedudukan politik Melayu-Muslim sehingga PRU16. Ini bacaan terhadap minda seorang presiden Umno yang sedang meneroka formula terbaik untuk parti dan pengundinya. Ini bukan pujian, bukan juga celaan. Oleh kerana ia strategi, ia mesti dinilai sebagai sebuah strategi: membaca medan memenangi kedudukan hari ini. Tetapi soalan sebenarnya ialah apa yang dibina daripada bacaan sedemikian.
Dua perkataan, dua dunia
Persefahaman ialah persetujuan mengelakkan pertembungan, lahir daripada aritmetik: jangan pecah undi, jangan beri ruang kepada pihak ketiga. Sifatnya bersyarat, mudah ditarik balik. Muafakat pula lebih tinggi. Dalam tradisi kita ia berakar pada musyawarah yang mengikat atas tujuan yang dikongsi. Persefahaman menjawab ‘bagaimana kita elak kalah?’; muafakat, ‘apa yang kita mahu bina?’
Persoalan apakah bentuk kerjasama ini bukan milik BN semata-mata. Di Melaka, PH sudah keluar daripada kerajaan negeri, dan BN kini dalam dilema memilih antara PN atau PH sendiri. Satu negeri, dua pinangan – bukti hampir setiap gabungan hari ini hidup dalam persefahaman, bukan muafakat. Kelebihan sebenar bukan pada siapa paling pandai menyusun persefahaman, tetapi siapa mula-mula mengangkatnya menjadi muafakat. Ini dilihat boleh berlaku menerusi empat anjakan.
Pertama: daripada aritmetik kepada objektif (maqasid)
Persefahaman di Negeri Sembilan dibina atas perkiraan kerusi. Untuk membentuk model muafakat, tujuan itu mesti bertulis, bukan sekadar dirasai. Sebuah gabungan tanpa agenda bersama yang jelas sebenarnya sedang meminta rakyat menandatangani cek kosong.
Maka tuntutannya perlu tegas: sebelum menuju medan berikutnya, gabungan mesti mengisytiharkan satu agenda bersama yang boleh diuji dengan komitmen yang spesifik, bertarikh, dan boleh dinilai. Bukan hanya ‘menjaga kesejahteraan rakyat’, tetapi menurunkan kos sara hidup dengan sasaran nyata; bukan ‘memperkukuh tadbir urus’, tetapi reformasi integriti yang boleh disemak; bukan ‘pembangunan seimbang’, tetapi ukuran luar bandar yang boleh dihitung.
Seperti diingatkan Malik Bennabi, ikatan yang dibina atas penolakan orang lain ialah ikatan tanpa jiwa. Muafakat memerlukan ‘kenapa’, bukan sekadar ‘berapa’. Selagi soalan ‘apa yang kita bina bersama?’ tidak dijawab terbuka, yang ada hanyalah gencatan senjata bermusim.
Kedua: daripada peribadi kepada institusi
Persefahaman biasanya hidup melalui salaman pemimpin, berisiko mati apabila pemimpin bertukar atau berselisih dan terpaksa dirombak semula setiap kali pilihan raya menjelang. Inilah kelemahan yang jarang diakui gabungan kita terlalu bergantung pada peribadi, terlalu sedikit pada struktur.
Maka, desakannya lebih keras: muafakat menuntut pelembagaan sebenar, bukan kenyataan akhbar bersama. Lihat sahaja betapa kerjasama BN–PN masih tercari-cari bentuknya sehingga satu nama baharu, Perikatan Barisan Nasional, terpaksa dicadangkan selepas menang, bukan sebelum; dan setiap kali kempen berakhir, pemimpin diminta ‘berdamai semula’. Pelembagaan bermakna satu piagam gabungan bertulis, sebuah sekretariat tetap yang bersidang di luar musim pilihan raya, formula pembahagian kerusi yang disepakati lebih awal, mekanisme menyelesaikan perselisihan, dan disiplin bersama yang mengikat. Kerjasama yang bergantung pada individu sukar melepasi satu kitaran kepimpinan; hanya struktur mampu mewariskan kepercayaan.
Bagi rakyat sebagai pengundi, ini bukan soal teknikal dalaman parti, tetapi soal kepercayaan. Tanpa struktur dan arah tuju yang jelas, sebuah gabungan kelihatan tiada prinsip, oportunis, dan seakan menangguk di dua kolam: sekerajaan dengan satu pihak di Putrajaya, sebahu dengan lawannya di negeri. Pengundi membaca isyarat itu dengan tajam. Kepercayaan tidak terbina di atas kesamaran; ia hanya terbina apabila rakyat tahu dengan jelas apa yang diperjuangkan sebuah gabungan, dan dengan siapa.
Ketiga: daripada perbincangan tertutup kepada ketelusan
Muafakat juga menuntut kejujuran tentang syaratnya. Persefahaman yang dirasai rakyat tetapi tidak pernah diberitahu akhirnya dibaca sebagai politik peluang; ketelusanlah yang mengubah persefahaman elit menjadi legitimasi awam.
Keempat: daripada kemenangan kepada penyampaian
Ujian muktamad muafakat bukan pada hari mengundi, tetapi selepasnya, melalui penyampaian yang dinilai rakyat pada penghujung penggal. Di sinilah logik prestasi dan logik amanah bertemu: identiti yang ditunaikan ialah prestasi; prestasi yang berpaksikan tujuan ialah amanah.
Tiga negeri, tiga model, satu paksi
Zahid sendiri menangkap perbezaannya: ‘Johor menguji kekuatan sebuah parti, manakala Negeri Sembilan menguji kekuatan sebuah persefahaman’. Johor berdiri sendiri kerana tidak memerlukan sesiapa; Negeri Sembilan bersepakat kerana aritmetik kerusi menuntutnya; Melaka terbuka kepada kedua-duanya. Setiap model ditentukan oleh realiti kerusi setempat.
Zahid betul bahawa tiada satu formula untuk semua keadaan. Dalam ilmu politik, ini ada namanya: Tsebelis memanggilnya nested games – langkah yang nampak tidak konsisten dalam satu gelanggang sebenarnya rasional apabila dilihat merentas beberapa gelanggang. Fleksibiliti begini bukan kecelaruan, tetapi boleh jadi strategi matang.
Tetapi konsep-konsep itu hanya memerihalkan gejala, belum menetapkan syaratnya. Kelenturan semata-mata belum cukup kerana bertukar bentuk tanpa pendirian ialah oportunisme yang tersusun kemas. Apa yang menyelamatkannya ialah kelenturan berpaksi – menyesuaikan bentuk mengikut medan, tetapi sentiasa berputar pada satu paksi yang tetap. Kelenturan pada bentuk ialah kematangan; kelenturan pada tujuan ialah pengkhianatan. Boleh berubah geometri, tidak boleh berubah paksi.
Paksi itulah muafakat, dan ia bukan abstrak: ia dijelmakan oleh dua perkara konkrit, agenda bersama yang jelas dan struktur gabungan yang kekal. Dengan keduanya, ‘tiga model’ tadi bukan lagi tiga urusan berasingan, tetapi satu strategi koheren — satu matlamat, dilaksanakan mengikut medan.
Yang masih tertinggal ialah maqasid kerjasama
Maka, soalan sebenar bukan sama ada mahu bekerjasama, tetapi sama ada kelenturan itu berpaksi pada satu tujuan dikongsi, atau sekadar persefahaman tidak bertali. Ibn Khaldun mengajar bahawa asabiyyah menaikkan kuasa, tetapi hanya bertahan apabila diangkat oleh tujuan yang lebih tinggi daripada kepentingan diri. Persefahaman ialah asabiyyah pilihan raya; muafakat ialah asabiyyah yang telah menemui tujuannya.
Zahid berharap politik yang lebih baik melahirkan negara yang lebih baik. Harapan itu benar, tetapi keadaannya kini semakin mendesak: sudah ada suara menggesa supaya diadakan PRU awal, dan Muafakat Nasional Umno–PAS kembali dibincangkan. Namun gerakan itu masih tentang bentuk – siapa dengan siapa, bila, di mana. Yang belum terjawab ialah paksinya: untuk apa.
Rumusannya, memilih rakan gabungan umpama adab merisik sebelum meminang. Yang ditimbang bukan rupa atau kelebihan sementara tetapi asal usul, pegangan, dan sekufu dalam tujuan. Solo adalah berdikari, sepakat ibarat pertunangan yang masih boleh dimungkiri, sepayung pula ibarat akad nikah, satu mitsaq yang menuntut tanggungjawab. Ini kerana pada akhirnya, rakyat tidak mengekalkan gabungan yang sekadar bijak atur strategi untuk menang atau bertukar bentuk tanpa paksi, tetapi mereka hanya alam mengekalkan gabungan yang mereka percaya sedang membina sesuatu untuk mereka. - FMT
Penulis, Zainal Abidin Sanusi ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.