Sasaran kurangkan pekerja asing kepada 10% menjelang 2030 sukar dicapai jika rakyat tempatan masih enggan menceburi pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar.


Presiden, Syed Hussain Syed Husman, berkata pengurangan pekerja asing tidak akan berjaya selagi pekerjaan yang dianggap kurang menarik terus ditolak tenaga kerja tempatan.
“Pekerjaan mesti mengutamakan rakyat Malaysia. Kita perlu mengubah persepsi kerana semua pekerjaan penting dan perlu dilakukan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas sasaran kerajaan menurunkan nisbah pekerja asing daripada 13% kepada 10% menjelang 2030, selepas ia dikurangkan daripada 15%.
Pada 20 Ogos lalu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata Malaysia tidak akan meningkatkan kebergantungan kepada buruh asing walaupun ada permintaan daripada perniagaan.
Automasi bukan pilihan teapi keperluan
Syed Hussain berkata, usaha itu mesti berjalan seiring penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik dan penambahbaikan proses kerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh manual.
Katanya, peralihan kepada tenaga kerja tempatan perlu dibuat secara berperingkat supaya tidak menjejaskan operasi industri, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
“Kita perlu menangani realiti ini, bukannya sekadar bergantung kepada retorik dan kenyataan popular,” katanya.
Beliau turut menegaskan, sebarang pengurangan daripada 13% kepada 10% perlu dibuat berdasarkan data pasaran buruh, produktiviti dan keupayaan industri menggantikan pekerja asing.
Gaji lebih baik, TVET lebih kukuh

Pakar ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata sasaran itu memerlukan komitmen bersama kerajaan dan majikan melalui automasi, pendigitalan serta gaji yang lebih kompetitif.
Katanya, pekerjaan juga perlu menawarkan laluan kerjaya dan pembangunan kemahiran lebih baik bagi menarik minat rakyat tempatan.
Menurutnya, kerajaan wajar memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta latihan semula supaya kemahiran pekerja selari keperluan industri.
Namun, Razman mengingatkan pengurangan pekerja asing tidak boleh dilakukan tergesa-gesa kerana sektor pembinaan, perladangan, pertanian dan pembuatan masih bergantung kepada tenaga kerja asing.
Ubah struktur ekonomi

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyifatkan pengurangan pekerja asing tidak berkemahiran sebagai langkah strategik untuk menaik taraf ekonomi negara.
Katanya, dasar kerajaan seperti geran, pembiayaan, digitalisasi dan automasi penting bagi membantu syarikat beralih kepada operasi bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap pekerja tempatan berkemahiran. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.