Kejadian berlaku awal pagi tadi ketika mangsa menyertai sebuah program tahfiz di Seremban.

Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa berusia 11 tahun itu pada 12.28 tengah malam, sebelum operasi pencarian dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar kawasan kejadian.
“Mangsa ditemukan di dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah dan bantuan pernafasan diberikan kepada mangsa, sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Lenggeng,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan, bagi menentukan kronologi serta keadaan sebenar kejadian termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan.
Johari berkata klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan dan laporan bedah siasat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai menerusi talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.