`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 3, 2017

‘Allahu Akbar’ dan hak asasi

faisal-tehrani-islam-masjid

Ada satu perangai dalam kalangan Islamis yang suka membakulkan apa sahaja yang melanggar mereka sebagai “sesat” atau “liberal”. Salah satu aspek yang sering dituduh dengan begitu malang sekali ialah aspek hak asasi manusia.
Seolah-olah, tatkala mereka berhujah, Islam menjadi suatu agama yang ekstrem. Dakwaan pincang kononnya hak asasi manusia adalah agama baharu dan merupakan fenomena yang dipinjam dari Barat ini menjadi satu momokan harian.
Malahan hak asasi manusia dikaitkan secara negatif dengan komponen Islam Liberal. Sebagai contoh, Khalif Muammar dalam bukunya “Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal” telah membakulkan secara umumnya wacana hak asasi manusia moden sebagai sesuatu yang sepenuhnya bersumberkan Barat dan faham liberalisme.
Oleh kerana, menurut beliau, Islam mempunyai batas kebebasan yang tersendiri makanya hak asasi manusia yang dipegang Barat dapat dikira bertentangan dengan Islam. Kata Khalif: “Islam liberal mengambil semangat dan nilai-nilai liberalisme berupa kebebasan bersuara, hak asasi manusia, penolakan atas autoriti agama, kesetaraan gender dan sebagainya. Golongan ini lupa bahawa masyarakat Barat menghasilkan falsafah ini dalam konteks tamadun Barat yang mempunyai ciri dan perkembangan sejarah yang tersendiri.”
Hujah beliau di atas adalah sangat umum, misleading, menyeleweng dari fakta. Sebetulnya hak asasi manusia moden yang tumbuh di Barat sangat tidak bertentangan dengan Islam.
Hasil hujah anti-hak asasi
Hujah seperti inilah yang membolehkan Donald Trump menuduh umat Islam sebagai setan, kebalikan dari beliau. Hujah seperti inilah yang didambai IS untuk merekrut askarnya. Hujah ini akan dibalut dengan satu seruan peradaban: “Allahu Akbar” – Tuhan Maha Besar.
Jika kita tidak berfikir sehala dan tidak duduk dalam bakul, kita akan mendapati perkembangan sejarah Islam, turut merai dan menumbuhkan hak asasi manusia. Malah terdapat bahagian wacana hak asasi manusia moden yang lahir di Barat telah secara langsung mengambil atau memanfaatkan ajaran Islam sebagai sumbernya.
Malang sekali hujah seperti di atas telah pun mendapat tempat menurut autoriti agama di Malaysia.
Sebagai contoh, khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada 18 Oktober 2014 menyarankan adanya pertalian antara gerakan hak asasi manusia dengan fahaman liberalisme.
Jakim merupakan badan berkuasa agama peringkat kebangsaan yang memantau pergerakan dan pembangunan Islam di Malaysia. Khutbah Jumaat yang disediakan teksnya dibaca di seluruh negara memberikan gambaran liberalisme dan gerakan hak asasi manusia moden berhasrat untuk menggugat hak keistimewaan Islam.
Oleh kerana Islam dan Melayu ditafsirkan secara rapat dan berhubungan dalam Perlembagaan Malaysia, maka momok yang sering kedengaran adalah faham liberalisme dan hak asasi manusia adalah ancaman buat autoriti Melayu-Islam.
Seruan dan stigmatisasi begini yang sebenarnya menjelmakan mesin basuh Islami. Seruan dan retorik begini yang menumbuhkan manusia seperti Sayfullo Saipov yang menyerang pejalan kaki tidak bersalah di Manhattan, New York minggu ini. Kita selalu mengecam hasil nista, kita jarang menyiasat punca.
Meskipun memperjuangkan hak asasi manusia dianggap sebagai sebahagian dari komponen Islam Liberal seperti yang dinukilkan oleh Charles Kurzman dalam prakata buku susunannya “Liberal Islam: A Source Book”, hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing atau datang dari luar Islam, malah merupakan anjuran penting Islam.
Ia bagaimanapun terhakis dan dipandang serong ekoran faktor sejarah yang antara lain berlaku kerana perubahan konsep dan pusat politik Islam, iaitu daripada mendokong demokrasi kepada sistem berteras monarki-autoritarian. Inilah satu punca yang banyak melahirkan produk nista yang penuh kekeliruan seperti menukarkan seruan “Allah Akbar” untuk membunuh orang di medan Siffin dan Karbala.
Ia bermula dari Muawiyah. Ia diperkasakan oleh Yazid. Ia diwariskan kepada empayar Islam.
Menurut cara pandang Islam, gagasan hak asasi manusia terserlah pada doktrin “al-dhururiyat al-khamsah” atau boleh dirujuk juga sebagai “al-huquq al-insaniyah fi al-Islam” (hak-hak asasi manusia dalam Islam).
Konsep ini mengandungi 5 pokok yang harus dijaga oleh setiap individu. Pertama, “Hifdzu al-nafs wa al-ird” atau Hak Untuk Hidup (Surah Al-An’am ayat 151); Kedua, “Hifdzu al-‘aql” atau Hak Persamaan Darjat (Surah Al-Hujurat ayat 13); Ketiga, “Hifdzu al-nasl” atau Hak Memperoleh keadilan (Surah al-Maidah ayat 2); Keempat, “Hifdzu al-mal” atau Hak Perlindungan harta atau pemilikan (Surah Al-Baqarah ayat 188); dan Kelima, “Hifdzu al-din” atau Hak Kebebasan Beragama (Surah Al-Baqarah, ayat 256, dan Surah Yunus, ayat 99).
Gus Dur
Gus Dur atau Kyai Haji Abdul Rahman Wahid, salah seorang figur besar Nahdhatul Ulama di Indonesia, dan bekas presiden Indonesia, melihat 5 komponen di atas sebagai sesuatu yang melampaui tujuan syariat Islam. Gus Dur memandang kelima poin di atas sebagai bukti Islam sebagai sebuah agama yang dasarnya mempertahankan hak asasi manusia:
Ulama terdahulu merumuskan kelima jaminan dasar itu sebagai tujuan syariat (maqasid al-syariah), di mana segala tindakan yang melindungi kelima hal itu adalah bagian dari ajaran agama yang hakiki, sementara segala tindakan yang mengingkari kelima hal tersebut adalah kemudaratan yang bertentang dengan agama.
Itulah asas agama dalam menata kehidupan masyarakat bangsa yang berperspektif hak asasi manusia.
Pemikiran Gus Dur di bidang agama dan sosial kemasyarakatan pada umumnya dibangun di atas teori maqasid al-syariah tersebut. Bagi Gus Dur, agama (Islam) sangat sensitif dan peduli terhadap masalah hak asasi manusia. Islam sangat menentang tindakan yang melawan hak asasi manusia, termasuk tindak kekerasan dan memaksakan kehendak terhadap orang atau kelompok lain.
Abdul Muhaimin Iskandar, atau Cak Imin, salah seorang pemimpin muda Nahdhatul Ulama dan pelajar Gus Dur, menyatakan Gus Dur menggunakan sepenuhnya komponen maqasid al-syariah untuk menjadikan Islam sebagai sebuah agama yang efektif dalam masyarakat.
Malahan, Islam dilihat dan berfungsi sebagai etika sosial.
Sebagai satu etika masyarakat, hukum agama malahan menjadi lebih berkesan kerana mendapat dokongan rakyat atau massa. Justeru, Islam yang disarankan oleh beliau bersumberkan maqasid al-syariah itu hendaklah menjadi “kenderaan masyarakat” dan bukan wewenang negara.
Cak Imin merumuskan pandangan di atas setelah menelaah dan menaakul idea atau gagasan besar Gus Dur. Cak Imin merupakan penulis yang telah menghasilkan tiga buku mengenai Gus Dur dan pelbagai tulisan eceran berkait guru dan mentor beliau tersebut.
Pendek kata, tujuan syariah atau maqasid al-syariah ikut melindungi hak manusia, “the rights one has because one is human”, serta menjamin taraf dan keadaan hidup manusia, “the idea of human rights ultimately is about improving the lives of real, ordinary human beings”.
Kesejajaran matlamat antara hak asasi manusia moden dan maqasid al-syariah ini membolehkan satu kesepaduan digerakkan untuk membolehkan kedua-duanya saling beroperasi.
Dalam hal ini, strategi Gus Dur untuk menggembleng maqasid al-syariah menjadi satu etika sosial atau etika masyarakat, berbanding hukum-hakam semata adalah amat bijaksana. Ia bertentangan dengan kepala otak Islamis di Malaysia yang membolak-balikkan semua perkara.
Fahaman untuk hari ini
Penekanan kepada tujuan syariah, atau maqasid al-syariah ini penting memandangkan syariah itu sendiri sebagai satu tatanan atau set undang-undang boleh ketinggalan zaman kerana syariah yang tersedia dalam sejarah perkembangan undang-undang Islam adalah berasaskan kefahaman dan amalan setiap generasi khususnya generasi sebelum.
Justeru, satu kefahaman dan amalan yang terpakai untuk generasi manusia sekarang mesti digerakkan.
Keadilan, serta kasih sayang dan persaudaraan merupakan tunjang gagasan hak asasi manusia moden yang kebetulan digagaskan di Barat. Selain ayat suci al-Quran dan sumber sunnah, model pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin khususnya pimpinan Saidina Ali menunjukkan keadilan adalah satu prinsip yang tidak boleh dikorbankan dalam sebuah masyarakat, dan keadilan itu terpakai buat semua, tanpa mengira bangsa, dan warna kulit.
Tatacara pemerintahan Saidina Ali itu terserlah pada surat perintah kerja beliau untuk Malik Al-Ashtar, yang merupakan gabenor Mesir lantikan khalifah ke-4 tersebut.
Keadilan, serta kasih sayang dan persaudaraan yang ditulis panjang lebar inilah inti pati seruan “Allah Akbar”, tetapi malang seribu kali malang; ia telah diselewengkan.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.