`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 10, 2017

PRU & MASA DEPAN ORANG MELAYU

APABILA tiba pilihan raya umum, antara topik penting yang menjadi kebimbangan orang Melayu ialah kedudukan mereka sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan Persekutuan.
Orang Melayu bimbang sekiranya kuasa pemerintahan jatuh ke tangan bangsa lain dan ini akan mengakibatkan kedudukan mereka tergugat.
Memandangkan PRU14 akan menjelang dalam masa terdekat, topik ini akan terus bermain di minda pengundi Melayu. Sejak merdeka lagi, negara ini tidak pernah diperintah oleh pakatan pembangkang.
Keupayaan pakatan pembangkang untuk memerintah kerajaan pusat belum terbukti walaupun pakatan tersebut sudah mempunyai pengalaman mentadbir beberapa kerajaan negeri.
Kebimbangan orang Melayu ini berasas kerana sepanjang sejarah Malaysia, keamanan negara dapat dikekalkan dan hubungan masyarakat pelbagai kaum berlangsung secara harmoni dengan kerajaan sedia ada. Umumnya, orang Melayu tidak suka kepada persengketaan yang dibimbangi boleh membawa kepada suasana kacau bilau.
Kenang budi
Orang Melayu memang dikenali sebagai kaum yang mengenang budi dan berterima kasih kepada pihak yang berbudi kepadanya. Kerajaan yang memerintah negara ini sejak merdeka dilihat banyak berbakti kepada orang Melayu, sama ada dari sudut pendidikan, peluang pekerjaan atau pun meningkatkan taraf hidup mereka secara keseluruhannya.
Dengan sifat mengenang budi, orang Melayu meletakkan kesetiaan kepada pihak yang banyak berjasa kepada mereka. Bagaimanapun, trend ini boleh berubah apabila berlaku isu besar seperti perpecahan dalam Umno sebelum pilihan raya umum 1990 dan gelombang reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998.
Orang Melayu umumnya masih banyak bergantung kepada kerajaan terutamanya sebagai sumber pendapatan atau pun untuk mendapatkan bentuk-bentuk bantuan yang lain. Ini jelas dilihat pada komposisi kakitangan awam yang didominasi oleh orang Melayu.
Ini tidak semestinya satu perkara yang tidak baik malah di negara lain juga, fenomena ini berlaku apabila kaum yang paling besar paling ramai berkhidmat sebagai kakitangan awam.
Mungkin apa yang unik di negara ini ialah sifat orang Melayu mengenang budi pemerintah yang menyediakan sumber rezeki dan bantuan untuk mereka. Sifat mengenang budi ini diterjemahkan dalam bentuk undi setiap kali pilihan raya.
Ini tidak bermaksud orang Melayu tidak berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai luhur bangsa itu sendiri apabila mereka melihat sesuatu yang tidak betul dilakukan oleh kerajaan yang banyak membantu mereka.
Sebaliknya, sifat orang Melayu itu sendiri yang mungkin lebih mementingkan kepada kelangsungan kuasa orang Melayu sebagai tampuk pemerintahan negara dan memberi nasihat secara berhemah dalam memperbetulkan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin.
Ini bolehlah dijelaskan melalui pepatah “menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”. Bagaimanapun, dilema ini jika dibiarkan berterusan dibimbangi akan menyebabkan orang Melayu menjadi mangsa kepada pemimpinnya sendiri.
Kehidupan orang Melayu
Orang Melayu secara umumnya hidup secara sederhana dan tidaklah terlalu mementingkan harta kekayaan. Di samping dapat mengamalkan gaya hidup dan tuntutan agama Islam, sudah cukup bagi mereka untuk mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan berkeluarga.
Di tanah air ini, mereka dapat memiliki rumah, kenderaan dan menghantar anak-anak sehingga ke pusat pengajian tinggi. Ini tidak pula bermaksud mereka langsung tidak mementingkan harta. Sebaliknya, ia menunjukkan rata-rata orang Melayu lebih mementingkan kehidupan yang sederhana, seimbang dan dalam suasana yang aman.
Peranan media
Media tidak kurang memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran dan pandangan orang Melayu. Jika di pedalaman media didominasi oleh saluran televisyen dan surat khabar, di kawasan bandar pula, media sosial lebih berperanan.
Golongan muda paling ramai menggunakan media sosial namun perhatian mereka lebih dekat kepada apa yang menarik minat dan dekat di hati mereka, seperti hiburan. Golongan wanita pula selalunya dikaitkan dengan jual-beli barangan atas talian melalui media sosial.
Sering kali media konvensional dilihat memainkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu setiap kali tiba pilihan raya. Isu yang dipaparkan di media membina persepsi, membentuk pandangan dan seterusnya menimbulkan kebimbangan membuatkan pembaca tidak dapat membuat penilaian objektif berdasarkan fakta sebenar.
Pemberitaan tidak seimbang ini membawa kepada persepsi berat sebelah dan sering membuatkan orang Melayu berada pada kedudukan defensif. Dengan itu, mereka akan mengundi untuk terus mengekalkan status quo.
Sekiranya fenomena ini berterusan, dibimbangi orang Melayu akan terus diperkotak-katikkan dan dimanipulasi oleh pemimpin kaumnya sendiri yang berkepentingan.
Realiti hari ini
Hakikatnya, setelah lebih 60 tahun merdeka, realiti terkini menunjukkan majoriti yang berada dalam golongan B40 adalah terdiri dari golongan Bumiputera. Di Semenanjung, majoriti Bumiputera sudah tentulah terdiri daripada orang Melayu. Jurang pendapatan pula semakin membesar. Dengan kos sara hidup yang melambung, ia meletakkan ramai orang Melayu pada satu keadaan yang tertekan.
Situasi ini menimbulkan persoalan, di manakah silapnya?
Begitu juga apabila kita melihat masalah sosial, sedia maklum masyarakat Melayu paling ramai dilanda pelbagai masalah sama ada masalah keruntuhan akhlak generasi muda, jenayah, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi.
Mahu tidak mahu, orang Melayu perlu sedar ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan perubahan supaya bangsa mereka dapat dipulihkan dan kembali bersaing untuk membawa negara ke arah yang lebih baik.
Langkah ke hadapan
Dalam situasi negara pada hari ini, demi mengembalikan negara ke landasan yang betul, mereka yang amanah dan mempunyai integriti yang tinggi mestilah dipilih sebagai pemimpin.
Kaedah menarik rambut dalam tepung tidak lagi berkesan dalam memberi nasihat dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh para pemimpin. Sebaliknya, perubahan dalam bentuk politik hendaklah dilakukan demi kepentingan dan masa depan orang Melayu itu sendiri selain daripada perubahan lain.
Perubahan politik ini merupakan satu perkara yang perlu diberi keutamaan kerana ia melibatkan kuasa mentadbir negara dan menjaga kepentingan rakyat termasuklah orang Melayu itu sendiri.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, Malaysia memerlukan sistem semak-imbang yang berkesan agar pemerintah dan pembangkang dapat memainkan peranan masing-masing dalam suasana politik yang sihat dan berkesan.
Amalan ini terbukti berkesan di negara lain dan membawa banyak manfaat kepada negara tersebut. Negara akan lebih maju ke hadapan dan sumber negara dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.