`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 7, 2017

Rumah Selangorku RM42,000 dapat sambutan luar biasa, kata pemaju

Pihak pemaju, Eco World berkata permohonan Rumah Selangorku jenis A yang mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air tidak putus-putus sehingga kini.
VIDEO INSIDE
Orang ramai memenuhi ibu pejabat Eco World untuk memohon Rumah Selangorku
Orang ramai memenuhi ibu pejabat Eco World untuk memohon Rumah Selangorku
KAJANG: Permohonan baharu untuk Rumah Selangorku jenis A yang berharga RM42,000 seunit mendapat sambutan luar biasa biarpun pendaftaran baru dibuka 29 Oktober lalu.
Menurut seorang pegawai pemaju Eco World, yang hanya dikenali sebagai Hani, permohonan Rumah Selangorku yang mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air tidak putus-putus sehingga kini.
Katanya, Eco World sebagai pemaju hanya membina 380 unit rumah pangsapuri berkeluasan 700 kaki persegi di Eco Forest, Semenyih, Selangor dan akan dirasmikan tahun depan.
Beliau berkata sambutan sangat menggalakkan dan kebanyakan pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk memiliki rumah pertama mereka.
“Kita menjalankan konsep siapa cepat dia dapat. Untuk mendapatkan borang permohonan mereka perlu ke pejabat Eco World di Eco Forest.
“Selepas itu, mereka perlu menghantar borang dan dokumen lengkap,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Ibu Pejabat Eco World.
Katanya, pemohon boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat Eco World di Semenyih kerana permohonan atas talian belum dibuka lagi.
Kerajaan Selangor memperkenalkan inisiatif rumah mampu milik, Rumah Selangorku khusus kepada rakyat Selangor sejak 2015 dalam usaha memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang memiliki rumah yang selesa.
Projek ini dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melibatkan geran sebanyak RM100 juta menggunakan wang rezab negeri.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad berkata Selangor komited membantu golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40).
Iskandar berkata projek itu terbukti lebih baik berbanding projek rumah mampu milik kerajaan persekutuan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M).
“Rumah Selangorku boleh didapati bermula dari RM42,000 hingga RM250,000. Manakala rumah PR1MA dan PPA1M melebihi RM300,000. Komitmen kerajaan Selangor memang terbukti sejak dari dulu lagi,” katanya kepada FMT.
Syarat untuk memohon Rumah Selangorku Jenis A:
1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
2. Pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.
3. Pemohon bujang atau suami dan isteri dan tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman.
4. Pembelian rumah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
5. Rumah ini hanya boleh dipindahmilik setelah 5 tahun, maknanya rumah ini adalah untuk diduduki dan hanya boleh berbuat demikian selepas 5 tahun.
Berbaloi miliki Rumah Selangorku
Rasydan Mohd Said
Rata-rata pemohon Rumah Selangorku memuji kerajaan negeri menawarkan rumah kos rendah bernilai RM42,000 itu.
Tinjauann FMT di pejabat Eco World, ramai pemohon Rumah Selangorku tidak percaya masih ada tawaran harga rumah serendah itu di Selangor.
Seorang pemohon Rumah Selangorku, Rasydan Mohd Said, 41, berkata beliau terkejut mendapat tahu ada rumah kos rendah seumpama itu di Selangor.
“Sekarang ini rumah semakin lama semakin mahal. Saya fikir generasi akan datang terutama graduan dengan pendapatan RM2,000 wajib beli rumah ini,” katanya.
Beliau yang bekerja di Bank Affin memuji Selangor dan berharap projek seperti ini diteruskan dan ditambah lagi.
Mohd Iqbal Mohd Taib (kerani syarikat swasta)
Mohd Iqbal Mohd Taib
“Benda ini patut diteruskan daripada menyewa 1 bilik di Selangor dengan harga RM300 sebulan, baik beli terus rumah ini,” katanya.
Seorang lagi pemohon, Mohd Iqbal Mohd Taib, 25, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata tidak rugi memohon rumah itu.
Katanya, selepas mendapat tahu mengenai projek perumahan itu, beliau terus ke pejabat Eco World.
“Ini bagi mematikan sama ada projek ini bukan penipuan seperti tular sebelum ini. Ada pemaju yang menipu dengan menjual rumah harga RM50,000.
“Saranan saya sesiapa layak memohon Rumah Selangorku boleh cuba datang dan tidak rugi mencuba,” katanya.
Mohd Abdul Hafiz Hashim (penjawat awam)
Mohd Abdul Hafiz Hashim
Mohd Abdul Hafiz Hashim, 36, seorang penjawat awam pula berkata kepada mereka yang berpendapatan rendah di bawah RM3,000 boleh memohon.
Katanya, walaupun ia merupakan rumah kos rendah tetapi tawaran harga itu sangat berbaloi dan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
“Diharap dapat projek sebegini diteruskan lagi,” katanya.
Manakala Faqiha Ahmad, 28, yang bekerja sebagai khidmat pelanggan pula berkata bagi golongan bujang sepertinya digalakkan untuk memohon Rumah Selangorku ini.
“Saya dapat tahu daripada kawan. Saya macam berminat selepas dapat tahu dan hari ini cuti, terus datang sini.
Faqiha Ahmad (pegawai khidmat pelanggan)
Faqiha Ahmad
“Rumah kos rendah sekarang banyak harga atas 50,000. Nak cari harga RM42,000 sekarang susah. Tawaran Rumah Selangorku ini sangat bagus,” katanya.

-FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.