Berikutan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan masih tiada jawapan sehingga kini, Tun Mahathir Mohamad dijangka akan mengetuai rombongan ke pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS esok bagi mendapatkan kepastian.
Rombongan yang akan disertai ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan itu bertujuan untuk bertanya sendiri kepada RoS mengapa permohonan mereka belum diluluskan, sedangkan semua syarat sudah dipatuhi.
Permohonan pendaftaran Pakatan Harapan dikemukakan kepada RoS pada 24 Julai lalu, namun sehingga ini semuanya senyap tanpa sebarang khabar berita.
Pada peringkat awal, hanya sekali RoS meminta pindaan pada logo yang mahu digunakan dan ia sudah pun dilakukan beberapa hari selepas itu.
Keadaan ini tentu saja menimbulkan persoalan apakah Pakatan Harapan tidak diberi kelulusan kerana ia dilihat sebagai ancaman kepada UMNO dan BN serta bagi menghalang gabungan pembangkang menggunakan satu logo dalam pilihanraya akan datang?
Dalam hal ini, RoS tidak wajar hanya berdiam diri tanpa sebarang jawapan.
Jika ada syarat tertentu yang tidak dipenuhi atau syarat tambahan yang dimahukan, RoS wajar memaklumkannya kepada Pakatan Harapan supaya tindakan segera dapat mereka ambil untuk mengatasinya.
Sebagai jentera kerajaan yang berkhidmat atas nama rakyat, sekiranya semua syarat telah dipenuhi, RoS wajib memberi kelulusan tanpa sebarang alasan, sesuai dengan khidmat mereka yang menyeluruh tanpa memilih bulu.
Melengah atau menangguhkan kelulusan tanpa sebarang alasan, sedangkan semua syarat sudah dipenuhi, hanya memberi tanggapan bahawa RoS lebih berkhidmat untuk menjaga nyawa UMNO dan BN semata-mata.
Soal, di mana suara “Ustaz Zahid Hamidi” sebagai Menteri Dalam Negeri dalam hal ini?
Jika semasa penubuhan Bersatu dulu, beliau pernah menjanjikan ia akan diluluskan dalam tempoh sebulan dan ia benar-benar ditunaikan oleh RoS, kenapa dalam hal pendaftaran Pakatan Harapan ini “Ustaz Zahid Hamidi” hanya berdiam diri?
Tidak malukah beliau dengan keadaan di mana sehingga Tun Mahathir, seorang negarawan terpaksa datang sendiri kepada RoS untuk bertanyakan kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan?
– http://shahbudindotcom.blogspot.my
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.