`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 12, 2018

RAKYAT LEBIH MENDERITA JIKA NAJIB KEKAL BERKUASA

Ke mana-mana saja Najib Razak pergi sekarang ini, beliau terlihat begitu baik hati dan pemurah. Ada saja projek baru, peruntukan baru, sumbangan baru dan dedak baru yang akan dihulurnya.
Ternampak beliau begitu mudah  meluluskan peruntukan pembangunan berbilion-bilion di kawasan pilihan, tambahan bangunan hospital,  turapan jalanraya, kemudahan lampu isyarat dan macam-macam lagi.
Tidak cukup dengan itu, elaun anggota Rela juga dinaikkan secara tiba-tiba. Imam dan bilal masjid turut diminta beratur menerima kupon yang boleh ditukar dengan wang tunai dengan segera.
Di tempat beliau melakukan lawatan pula, selalunya ada saja pesta jualan murah seperti ayam, keperluan harian dan sebagainya diadakan sama.
Sebagai tambahan lagi, Najib secara spontan akan memberikan sedekah ayam, sebagaimana dilakukannya di Terengganu baru-baru ini, kepada beberapa pengunjung untuk menunjukkan baiknya hati beliau sebagai seorang pemimpin.
Adakah Najib benar-benar pemimpin yang baik yang perlu rakyat kekalkan lagi kuasa pemerintahannya?
(Untuk keharmonian bersama, komen menggunakan nama Anonymous tidak lagi dibenarkan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran) 
 
Tidaklah sukar menjangka bahawa semua yang dilakukan Najib itu tidak lebih hanyalah gimik untuk menang pilihanraya saja. Setelah hampir 10 tahun menyusahkan rakyat dengan bebanan kos sara hidup, kenaikan harga barang, penarikan subdidi dan jerutan baru cukai GST, semua yang dilakukannya sekarang adalah semata-mata untuk menutup segala kelemahan, pekung, panau dan sopak dalam pentadbirannya selama ini.
Pemberian projek-projek segera hanyalah untuk mengabui dan melawan kekuatan parti lawan.
Selain itu, pemberian itu juga adalah sebagai  percubaan Najib untuk menutup skandal 1MDB yang akibat daripadanya ada wang beribu juta dalam akaun peribadinya, isterinya Rosmah Mansor dihadiahkan barangan kemas jutaan ringgit, anak tirinya Riza Aziz mampu membeli beberapa kondo mewah di Amerika dan Jho Low tiba-tiba mencanak sebagai bilionaire baru yang menjadi buruan artis-artis Hollywood.
Semua perlakuan Najib untuk memenangi hati rakyat dan menang piliharaya ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Mereka yang sebelumnya, setiap kali pilihanraya, hanya menjanjikan harapan dan masa depan yang lebih baik jika terus diberi kepercayaan menjadi kerajaan, tetapi Najib lebih gemar memberikan sesuatu dalam bentuk habuan dan umpan.
Pemimpin yang tiada skandal dan tidak pernah dikaitkan dengan kecurian wang untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak, memang tidak takut untuk menjanjikan harapan bagi depan kerana tiada apa yang perlu dirisaukan apabila mereka berbuat demikian.
Sebaliknya, mereka yang terkait skandal akan sentiasa diburu keraguan dan kesangsian untuk menjanjikan masa depan. Mereka bimbang janji-janji mereka tidak dipercayai atau kesalahan dalam skandal diperkatakan ramai.
Cara mudah untuk menutup skandal diri itu ialah dengan memberi habuan dan peruntukan segera kepada rakyat seolah-olah mereka pemimpin yang pemurah dan baik hati.
Itulah yang dilakukan Najib sekarang ini. Ke mana saja beliau pergi, pasti ada program pemberian tunai dan penyerahan habuan dilakukan.
Jika perlakuan beliau ini boleh difahami semata-mata untuk menutup pekung, panau dan sopak berkaitan diri serta  kepimpinannya, bahaya yang menanti selepas memperolehi kuasa nanti adalah lebih berganda sebenarnya.
Semua yang diberikannya hari ini adalah daripada wang rakyat atau wang kita juga dan sudah tentu tindakan itu akan menambahkan lagi perbelanjaan atau jika tidak cukup wang, akan ditampung melalui penambahan hutang.
Apabila hutang bertambah, wang untuk perbelanjaan semasa akan berkurangan. Tidak saja projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat akan tergendala, bahkan bajet untuk mengurus pentadbiran kerajaan pun tidak mustahil akan berdepan masalah.
Oleh itu, mengekalkan lagi Najib terus memberi risiko kadar GST akan dinaikkan, lebih banyak subsidi akan dihapuskan dan harga minyak terus tidak stabil, selain rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta skandal dan kemewahan dalam keluarga atau kroni Perdana Menteri menjadi sesuatu yang tidak berpenghujung.
– http://shahbudindotcom.blogspot.sg

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.