Penganalisis Syaza Shukri berkata Pemuda Umno selaku penganjur perlu bincang pembaharuan baharu dan isu seperti kesan rasuah.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata usaha penyatuan ummah meski dilihat positif tetapi perbincangan agenda besar yang memberi kesan kepada negara sangat kurang.

“Adakah mereka akan membincangkan macam mana rasuah telah memberi kesan negatif kepada umat Islam?
“Saya tidak nampak apa pembaharuan boleh dibawa kerana perbincangannya kurang berasaskan data, tetapi lebih kepada retorik berterusan,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata sayap itu akan menganjurkan Himpunan Tekad Ummah selepas Perhimpunan Agung Umno 2025, yang menghimpunkan parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik Melayu.
Menurutnya, himpunan itu bertujuan membincangkan kepentingan agama dan bangsa, serta menolak dakwaan ia bersifat kebencian terhadap kaum lain.
Akmal turut menyatakan kesediaan memimpin usaha itu demi penyatuan ummah.
Syaza bagaimanapun meragui hasrat memmipin usaha itu sama ada ia lebih kepada agenda politik selain telah ramai pemimpin menyuarakan kesediaan sama.
“Sekarang ramai pemimpin Melayu yang mahu dilihat sebagai penyatu ummah.
“Lama-kelamaan saya risau akan ada perbalahan dan perpecahan baharu mengenai siapa yang sebenarnya akan memimpin agenda Melayu ini,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berharap himpunan itu akan menjadi platform tidak produktif tanpa dokumen cadangan, rangka tindakan dan mekanisme pemantauan jelas.
“Tanpa itu, himpunan itu sekadar pentas retorik yang mengukuhkan sentimen tanpa menyelesaikan masalah struktur yang mendasari ketidakpuasan,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu.
Zaharuddin turut menyaran Akmal mengemukakan cadangan dasar boleh diukur dan lebih inklusif bagi membuktikan keikhlasan agenda tersebut.
“Beliau harus menjemput wakil bukan Melayu sebagai pemerhati dan paling penting mengelakkan retorik boleh menghasut sentimen kaum.
“Sebaliknya beri fokus kepada penyelesaian ekonomi serta institusi,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.