
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata usaha itu ‘mungkin tidak ke mana’ tanpa komitmen ketua-ketua parti untuk membincangkannya secara serius.
“Bagi saya cabaran utama sekarang untuk ketua-ketua parti ini duduk bersama dan bincang struktur gabungan ini,” katanya kepada FMT mengulas cadangan kolaborasi agung diumumkan Presiden Umno Zahid Hamidi, semalam.
Mengumumkannya pada Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025), Zahid mengakui sudah ada pihak ‘merisik dan meminang’ Umno untuk kerjasama lebih rapat, dan beliau secara terbuka menerimanya dengan syarat tidak mengganggu kestabilan kerajaan perpaduan.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jun tahun lalu melancarkan ‘jawatankuasa sekretariat orang Melayu’ dalam usaha mengembalikan kuasa komuniti itu dalam kerajaan, namun tiada perkembangan positif sehingga kini dan tidak disambut oleh Umno.
Syaza turut membangkitkan beberapa persoalan yang mungkin menjadi cabaran dan pertimbangan pimpinan parti untuk bersama dalam kerjasama itu.
Menurutnya, di peringkat Perikatan Nasional (PN) wujud isu perpecahan hubungan antara komponen yang mungkin menyebabkan Umno menjadi dominan walaupun kerusi Parlimen lebih banyak disandang PAS.
“Apakah tak akan berlaku pertelingkahan seperti PAS-Bersatu?” katanya sambil menyatakan dilema bakal dihadapi Umno dalam menguruskan rakan komponen Barisan Nasional (BN).
“Apa pula akan terjadi dengan BN, MCA dan MIC?”
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan cadangan Umno itu mempunyai strategi berbanding terperangkap dengan keputusan dibuat secara emosi.
Katanya, sebagai rakan komponen kerajaan perpaduan, Umno mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan jentera parti.
“Ini boleh merealisasikan kolaborasi agung dan mempunyai tenaga politik berdepan PRU16.
“Namun Umno dan BN juga perlu melihat dimensi pengaruh dan sokongan yang baru tidak semestinya menumpukan pengundi tradisi,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.