`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Sunday, May 17, 2026

Kerajaan digesa sedia pelan mitigasi jelas, bukan hanya ramal harga naik

 Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan berkata pengumuman tanpa langkah penyelesaian hanya mendedahkan pengguna kepada kesan psikologi pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan ramal harga makanan meningkat separuh kedua tahun ini.
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan menyediakan pelan mitigasi yang jelas dan segera, bukann sekadar mengeluarkan amaran atau ramalan kemungkinan kenaikan harga makanan pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T Saravanan berkata, pengumuman tanpa langkah penyelesaian konkrit hanya mendedahkan pengguna kepada kesan psikologi pasaran, sekali gus memberi ruang kepada peniaga tidak bertanggungjawab menaikkan harga lebih awal.

T Saravanan
T Saravanan.

“Peniaga mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga walaupun kos input sebenar belum meningkat secara ketara,” katanya kepada FMT.

Gesaan itu menyusul kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada 13 Mei lalu, kerajaan meramalkan harga makanan meningkat separuh kedua tahun ini kesan kenaikan kos baja, makanan ternakan, dan penghantaran susulan krisis tenaga dunia.

Katanya, harga minyak dunia memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan negara termasuk sektor penternakan dan perikanan tempatan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata mekanime pemantauan harga perlu dilaksanakan lebih agresif dan telus terutama melibatkan barangan keperluan asas.

“Kerajaan perlu meningkatkan ketelusan data berkaitan kos import, stok dan margin keuntungan supaya pengguna dapat memahami sama ada kenaikan harga benar-benar munasabah atau sekadar manipulasi pasaran,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan tidak seharusnya bersifat bermusim atau tertumpu pada musim perayaan sahaja, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan.

Sementara itu, pakar keterjaminan makanan, Nasir Shamsudin, berkata sistem agromakanan negara kini sangat bergantung kepada tenaga kerana pertanian moden memerlukan bahan api, baja, dan logistik intensif.

Beliau mendedahkan pada 2024, defisit perdagangan makanan negara mencecah RM39.34 bilion, sekali gus mencerminkan kebergantungan terlalu tinggi terhadap pasaran global.

“Dalam konteks Malaysia, kesannya lebih ketara kerana negara masih bergantung kepada import makanan seperti beras, gandum, produk tenusu dan daging,” katanya dari Putra Business School.

Katanya, industri yang kelihatan mencukupi seperti sektor ayam juga masih terdedah kepada gangguan global kerana bergantung import makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya.

Nasir Shamsudin.

Justeru, Nasir berpendapat kerajaan perlu terus kekal memberi subsidi baja dan diesel secara bersasar dalam strategi jangka pendek memandangkan kos baja sahaja boleh merangkumi sehingga 60% daripada kos pengeluaran.

“Bantuan bersasar seperti SARA dan STR juga perlu dipertingkatkan bagi melindungi golongan berpendapatan rendah yang paling terjejas oleh inflasi makanan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.