`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 14, 2017

KECOH-KECOH KEDAI ‘MELAYU SAJA’ RUPANYA SALAH TERJEMAH

NOTIS “hanya untuk orang Melayu” di sebuah kedai produk Jepun di Larkin, Johor hanyalah salah faham akibat kesilapan terjemahan, kata jurucakap syarikat berkenaan.
Kedai yang menjual barangan kesihatan dan barangan rumah dari Jepun itu sebelum ini meletakkan notis yang antara lain bertulis: “Hanya warganegara Malaysia yang berbangsa MELAYU saja dibenarkan masuk”.
Jurucakap syarikat itu bagaimanapun berkata notis itu sebenarnya hendak memberitahu semua penerangan barangan dalam kedai itu dilakukan dalam bahasa Melayu.
Beliau juga menafikan laporan media bahawa notis itu sebagai helah pemasaran untuk menarik pelanggan Melayu.
“Kita guna bahasa Melayu, sebab kita duduk di Malaysia jadi memang kita guna bahasa Melayu,” kata jurucakap itu yang enggan namanya didedahkan.
“Ini bukan sebab strategi pemasaran kita. Notis itu cuma salah terjemah, dari Mandarin ke Bahasa Melayu.”
Jurucakap syarikat antarabangsa itu juga berkata pihaknya tidak pernah melarang kaum bukan Melayu untuk menyertai sesi penerangan dan demonstrasi produk di kedai itu, asalkan mereka tahu berbahasa Melayu.
Beliau berkata laporan China Press kononnya pelanggan bukan Melayu diminta meninggalkan kedai itu sebenarnya berpunca daripada petugas yang tidak terlatih dengan baik.
“Ia cuma salah faham, kita tak larang orang, kalau pelanggan itu tahu bahasa Melayu dia boleh masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Cawangan syarikat yang menjual produk barangan kesihatan dan peralatan rumah dari Jepun itu menarik perhatian ramai kerana memaparkan notis “untuk Melayu saja” seperti dilaporkan akhbar China Press.
Jumaat lalu, pengurus cawangan itu berkata notis berkenaan antara strategi pemasaran yang menumpukan pasaran kepada pelanggan Melayu.
Katanya, pelanggan bukan Melayu boleh ke cawangan lain di Klang dan Ipoh.
Laporan tentang kedai ini timbul dua bulan selepas Sultan Johor murka terhadap pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang memaparkan notis perkhidmatannya hanya ditawarkan untuk orang Islam saja.
Jurucakap itu berkata bahasa lain turut digunakan di dua cawangan mereka yang lain, bergantung pada bahasa yang digunakan oleh pelanggan.
“Kalau ramai Cina, kita guna bahasa Cina; kalau Melayu kita guna bahasa Melayu.”
Syarikat antarabangsa itu bertapak di Malaysia sejak 25 tahun lalu serta mempunyai cawangan di Jepun, China Taiwan, Vietnam dan Indonesia.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.