`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 4, 2017

NGO: Kad pengenalan sementara untuk bekas jagaan JKM cuma harapan palsu?

Kad membantu bekas jagaan JKM mencari pekerjaan dan mendapatkan bantuan kecemasan belum diberikan sebulan selepas dilancarkan, kata Perbak.
Muhammad-Khairul-Hafiz-Abdullah-jkm-kad-pengenalanPETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) didakwa memberi harapan palsu sebulan selepas mengumumkan kad pengenalan sementara untuk bekas jagaan JKM agar boleh mencari pekerjaan dan mendapatkan bantuan kecemasan.
Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) berkata sehingga hari ini tiada penyerahan kad dan JKM pula membisu apabila ditanya status kad itu, untuk membantu bekas jagaan JKM yang tidak memiliki kad pengenalan atau taraf warganegara sah.
“Sepatutnya ia diberikan awal Oktober sejak dilancarkan 28 September tetapi pada hari terakhir Oktober ia tidak ditunaikan.
“Seramai 128 nama telah diberi kepada kementerian, malah kami banyak kali buat tindakan susulan dengan kementerian dan juga JKM tetapi mereka tidak memberi maklum balas bila kad akan diedarkan.
“Bagi saya, mereka telah permainkan perasaan anak jagaan JKM yang menunggu kad tersebut,” kata Presiden Perbak Muhammad Khairul Hafiz Abdullah.
Pelancaran kad itu menyusuli penularan video “suara anak tong sampah mengenai bekas jagaan JKM antaranya terpaksa menjadi pelacur kerana sukar mendapatkan pekerjaan, kerana tidak memilik kad pengenalan atau taraf warganegara yang sah.
Menurut Perbak, ada dalam kalangan bekas jagaan JKM yang tidak dapat bersekolah, memiliki akaun bank dan berkahwin kerana masalah itu. Seorang bekas jagaan memberitahu FMT dirinya takut mendapatkan pertolongan polis apabila mengalami masalah dengan keluarga angkatnya.
Terbaru, Khairul khuatir tawaran kad pengenalan sementara itu cubaan untuk menutup kelemahan JKM. Menurut beliau, lebih 1,000 bekas jagaan JKM di bawah Perbak hidup dalam ketakutan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.
Sementara itu, sebuah lagi pertubuhan bekas jagaan JKM mengesahkan kad itu belum diberikan. Pengerusi Pertubuhan Bekas Penghuni Institusi di bawah JKM (J’keb) Che Rozi Azrul Che Aziz bagaimanapun optimis kad itu cuma menunggu masa untuk dikeluarkan.
“Maklumat yang kami dapat pihak JKM sedang mengumpul maklumat dan mereka meminta tempoh 1 bulan untuk keluarkan kad tersebut, jadi kita hanya menunggu perkembangan lanjut. Kita yakin anak-anak jagaan akan dapat kad tersebut seperti yang dijanjikan,” katanya Che Rozi.
Semasa melancarkan kad itu, Rohani berkata pihaknya akan bertemu perdana menteri dan timbalan perdana menteri agar perkara itu dibawa ke jemaah menteri.
FMT cuba mendapatkan respon JKM dan masih menunggu maklum balas kepada perkembangan ini. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.