`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 5, 2017

TAK PERLU ISYTIHAR DARURAT, KATA GUAN ENG

TIADA keperluan untuk isytiharkan darurat di Pulau Pinang yang kini dilanda banjir, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Katanya situasi masih terkawal di Pulau Pinang dengan bantuan pelbagai agensi negeri dan persekutuan.
“Darurat hanya akan diisytiharkan sekiranya dirasakan perlu selepas berbincang dengan kerajaan persekutuan,” katanya kepada wartawan di Komtar hari ini.
Negeri utara itu dilanda ribut besar yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan banjir di semua daerah negeri itu.
Lebih kurang 80% negeri itu dilanda banjir dan angin kencang, kata Lim.
Difahamkan Pulau Pinang terkena tempias Taufan Damrey yang telah memakan nyawa 19 orang di Vietnam.
“Ini adalah bencana paling teruk dengan kelebatan hujan di beberapa tempat yang mencapai 200mm hujan. Empangan Air Itam menunjukkan bacaan tertinggi hari ini dengan 315mm,” kata Lim.
Sementara itu, di Stesyen Pajak Song (Seberang Perai Utara), Cerok Tok Kun (Seberang Perai Tengah) dan Simpang Ampat (Seberang Perai Selatan) mencatatkan bacaan sebanyak 372mm, 327mm dan 165mm.
“Ini adalah hujan lebat paling besar yang hanya berlaku dalam masa 15 jam sahaja,” katanya.
Antara kawasan yang dilanda bencana itu adalah George Town, Jalan P. Ramlee, Air Itam, Farlim, Paya Terubong, Minden Heights, Tanjung Tokong, Batu Feringghi, Kampung Dodol, Balik Pulau, Butterworth, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, dan Sungai Acheh.
Exco pengurusan banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, jumlah hujan yang direkod setakat ini adalah sebanyak 85% daripada purata hujan tahunan negeri itu.
Jumlah taburan “hujan luar biasa” di Pulau Pinang itu bertembung dengan air pasang setinggi 2.7m pada 1 tengah hari semalam.
Kata Chow, sebahagian sungai dan sistem pengairan di kawasan perumahan dan perkampungan tidak mampu menampung jumlah besar air sebegitu.
Beliau berkata terdapat banyak kemudahan utiliti yang dibina rendah di sepanjang sungai dan saluran air utama. Sisa domestik, industri dan pertanian di sungai dan longkang juga menghalang aliran air semasa kejadian.
“Ia menjadi satu cabaran dimana sistem pengairan manusia dan sistem semulajadi gagal menampung jumah air hujan. Kita harus akui yang kita gagal mengawal hujan lebat ini.
“Kami terkejut dengan kejadian hujan, banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang. Tetapi keadaan sedang pulih dari masa ke semasa seperti mana yang kita boleh lihat di CCTV yang ada di pulau ini.
“Kami juga percaya di semenanjung juga akan pulih petang ini. Kita masih menunggu laporan,” katanya kepada pemberita di bilik CCTV Majlis bandaraya Pulau Pinang di Komtar.
Chow berkata, dengan peruntukan sebanyak RM300 juta, kerajaan melalui JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) akan meneruskan projek tebatan banjir di pusat-pusat hotspot di seluruh negeri.
Katanya, projek itu dijadual bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Dalam masa sama, kita akan membuat kempen kesedaran memberitahu semua rakyat untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai, selain mengenal pasti semua sungai dan sistem pengairan yang mempunyai masalah aibat daripada struktur pembinaan yang tidak mengikut garis panduan kerajaan.
“Struktur pembinaan yang mengganggu akan dirobohkan,” katanya.
Minggu lalu, dalam sidang dewan undangan negeri, Chow berkata Pulau Pinang dilanda 119 banjir kilat semenjak 2013 hingga sampai bulan lepas.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Maimunah Mohd Sharif berkata, majlis bandaraya telah menghantar 200 anggota untuk menangangi kerosakan akibat bencana banjir dan angin kencang.
Menurutnya, majlis bandaraya telah menerima lapan laporan tanah runtuh di Jalan Tun Sardon (16 kawasan), Jalan Teluk Bahang, Jalan Paya Terubong, Jalan Puncak Mutiara, Lebuh Bukit Jambul, Lintang Bukit Jambul, Cangkat Minden Jalan 5, danJalan Lintang Air Itam.
Beliau turut berkata jalan baharu di projek perumahan Taman Ratu, Tanjung Bungah telah runtuh.
“Projek itu masih belum menerima sijil untuk diduduki. Arkitek telah diberitahu untuk ambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.
Majlis bandaraya telah menerima 75 laporan pokok tumbang yang menggangu trafik, namun ahli majlis turut berhadpaan masalah untuk sampai ke kawasan tersebut memandangkan banjir belum surut.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.