Winnie terkenal dengan kempen menuntut pembebasan suaminya, tetapi mereka bercerai kemudian.
SOWETO: Winnie Madikizela-Mandela, pejuang anti-aparteid terkenal semasa suaminya Nelson Mandela dipenjarakan meninggal dunia pada usia 81 tahun semalam, kata jurucakap keluarga, Victor Dlamini.
Winnie berkahwin dengan Nelson Mandela selama 38 tahun dan menjadi penyokong kuatnya dalam perjuangan menentang rejim aparteid kulit putih di Afrika Selatan.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, Winnie Mandela meninggalkan legasi besar atau dalam perumpamaan tempatan “sebatang pokok besar telah tumbang”.
“Beliau merupakan wanita paling hebat dalam perjuangan kita. Beliau menderita di bawah rejim aparteid, dipenjarakan dan dilayani dengan amat buruk,” katanya.
Dilahirkan pada 2 September 1936, di Bizana, Madikizela-Mandela terlibat dalam politik pada usia muda sewaktu bertugas sebagai pekerja sosial sebuah hospital.
Ketika berusia 22 tahun, Winnie menarik perhatian Nelson Mandela di sebuah perhentian bas di Soweto. Mereka berkahwin setahun kemudian.
Selepas Nelson Mandela dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1964 atas dakwaan sabotaj dan merancang menjatuhkan kerajaan, Winnie memulakan kempen menuntut pembebasannya untuk kemudiannya muncul sebagai tokoh antiaparteid terkenal dan menyebabkan dirinya dipenjara, dibuang daerah dan ditahan.
Winnie mengepalai sambutan pembebasan Nelson Mandela dari penjara Victor Vester pada 11 Februari 1990. Bagi pasangan suami isteri itu, ia merupakan saat paling gemilang apabila Winnie berjalan berpegang tangan dengan suaminya keluar dari penjara itu.
Empat tahun kemudian Afrika Selatan bebas daripada rejim aparteid kulit putih apabila Nelson Mandela dipilih sebagai presiden kulit hitamnnya yang pertama.
Perkahwinan mereka bagaimanapun menemui kegagalan beberapa tahun selepas pembebasan Nelson Mandela. Mereka kemudiannya bercerai pada 1996. Pasangan itu mempunyai 2 orang anak.
Dalam kenyataan rasmi kerajaan, presiden Afrika Selatan berkata, majlis peringatan untuk Winnie bakal diadakan pada 11 April dan pengebumian negara pada 14 April. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.