Wakil syarikat tongkang mengangkut bahan bakar bersetuju membersihkan pantai itu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad, berkata wakil syarikat tongkang mengangkut bahan bakar itu telah bersetuju membersihkan pantai berkenaan.
“Setakat ini dimaklumkan syarikat tersebut sedang dalam proses pemilihan kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama pihak bertanggungjawab kes tongkang pecah di Pantai Teluk Kalong hari ini, yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Razali Idris.
Hamzah berkata, syarikat terbabit memaklumkan kerja pembersihan itu dijangka mengambil masa selama sebulan.
Beliau berkata, tongkang tersadai itu juga akan dikeluarkan dari kawasan tersebut, namun proses berkenaan dijangka mengambil masa agak lama berikutan kerumitan operasi.
“Berdasarkan penjelasan pihak terlibat, tongkang yang membawa arang batu itu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, namun terkandas di pantai ini akibat tiupan angin kuat,” katanya.
Sementara itu, Razali pula berkata kerajaan negeri berharap pantai tersebut yang menjadi tumpuan pelancong dapat dibersihkan segera.
“Pihak kami juga akan memantau kerja pembersihan itu sehingga pantai kembali bersih seperti sediakala.
“Pengunjung diminta tidak bimbang kerana arang batu terbabit bukan merupakan bahan buangan berjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.