Seramai 15 pegawai tentera dikenal pasti terbabit aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya 'Yeye' yang tular di media sosial.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kementeriannya mempunyai peraturan disiplin jelas yang tidak membenarkan sebarang perlakuan mencemarkan budaya ketenteraan, sama ada tentera darat, tentera laut atau tentera udara.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, tindakan akan diambil di peringkat dalaman melalui penubuhan jawatankuasa siasatan sebelum kes pelanggaran disiplin dibawa ke Mahkamah Tentera.
“Kita tahu dalam sistem ketenteraan kita mempunyai Mahkamah Tentera dan mereka yang terbabit akan diberikan pengadilan di situ.
“Di situ, mereka diberi keadilan sama ada tuduhan itu benar atau tidak dan mereka boleh menjawab segala pertuduhan, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya menurut Berita Harian pada Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru, Alor Gajah, malam tadi.
Semalam, Panglima Tentera Darat, Azhan Md Othman, mengesahkan 15 pegawainya dikenal pasti terbabit aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial baru-baru ini.
Adly berkata, Kementerian Pertahanan komited membentuk budaya berintegriti dalam kalangan anggota tentera, walaupun perubahan budaya dalam organisasi ketenteraan memerlukan masa.
Katanya, budaya hedonisme tidak boleh diterima, sama ada di peringkat kementerian mahupun domain ketenteraan, selaras peringatan Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dalam perutusan tahun baharu kementerian itu.
“Apa yang berlaku, sama ada ia terpencil atau tidak, jika ia bukan budaya kita, tindakan akan diambil mengikut proses dan peraturan sedia ada termasuk melalui Mahkamah Tentera.” - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.