Pemiliknya berkata individu dalam video tular yang mengaku sebagai penganut fahaman Qadiani tidak terlibat dalam perniagaan itu.

Pemilik dan pengusahanya Faizatul Akmar Zainal Abidin berkata, dakwaan mengaitkan restoran itu dengan fahaman terbabit adalah fitnah.
“Untuk rekod, Nasi Lemak Tanglin dimiliki dan diusahakan sepenuhnya oleh saya sejak 2006.
“Individu terbabit tidak mempunyai sebarang penglibatan, kawalan, pengurusan mahupun kepentingan dalam perniagaan Nasi Lemak Tanglin,” katanya dalam sidang media di sebuah firma guaman di Bangsar.
Faizatul turut menegaskan dia adalah Muslim yang mengamalkan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak menganut fahaman Qadiani.
“Sebarang dakwaan atau andaian mengaitkan Nasi Lemak Tanglin dengan fahaman tersebut adalah tidak benar sama sekali, mengelirukan dan suatu fitnah yang memberi kesan kepada reputasi baik perniagaan,” katanya.
Mengulas kesan susulan kontroversi itu, Faizatul berkata perniagaannya terjejas selepas timbul seruan boikot di media sosial.
Sementara itu, peguam Mohd Haijan Omar berkata anak guamnya sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung dakwaan serta hantaran mengaitkan restoran berkenaan dengan fahaman Qadiani.
Pihaknya juga sedang mengumpul bukti dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnah anak guamnya.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki dikenali ‘Zainal Abidin Hassan’ mengaku sebagai penganut fahaman Qadiani.
Hal ini mencetuskan dakwaan bahawa Nasi Lemak Tanglin mempunyai kaitan dengan ajaran itu yang difatwakan sebagai terkeluar daripada agama Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2004 dan pihak berkuasa agama negeri lain. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.