Rata-rata pemandu teksi mahu sokongan berterusan dan bukan hanya pada musim pilihan raya.
SERDANG: Pemandu teksi yang ditemui menyambut baik insentif RM800 menerusi Kad Bantuan Teksi 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun berkata ia bukanlah penyelesai masalah.
Mereka rata-ratanya gembira dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam namun mengharapkan sokongan berterusan dan bukan hanya pada musim pilihan raya.
Mohd Adzir Rahim Mohd Shariff mengekaui beliau seorang penyokong Barisan Nasional (BN) tetapi masih kecewa dengan layanan kerajaan sebelum pilihan raya.
“Setiap kali pilihan raya umum baru nampak pemandu teksi kerana dia sedar kita ini secara tidak langsung duta bagi pihak kerajaan.
“Kita yang beritahu pengundi supaya mengundi BN tetapi kerajaan tidak nampak kita. Apabila sudah menang lupa pemandu teksi,” katanya.
Semalam, di satu majlis bersama 15,000 pemandu teksi, Najib mengumumkan pemberian RM800 menerusi Kad Bantuan Teksi 1Malaysia bagi membantu meringankan kos bahan api 67,000 pemandu teksi.
Disokong dana RM53.6 juta, pemandu boleh menggunakan kad itu untuk mengisi gas atau petrol di stesen minyak Petronas.
Pada masa sama, Najib mengumumkan semua pemandu teksi yang layak memohon BR1M akan menerima kelulusan secara automatik.
Adzir berkata kad bantuan dan BR1M meringankan kesempatan mereka, yang kini bersaing dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan yang sangat popular dalam kalangan pengguna.
Namun begitu nilainya tidak begitu besar memandangkan bukan sahaja pendapatan mereka semakin berkurangan tetapi juga ditekan kos sara hidup dan bahan api.
“RM800 tidak cukup kerana isi minyak paling kurang RM120 sehari. Kita sebagai pemandu teksi minta bantuan seperti ini diteruskan, jangan sampai pilihan raya ini sahaja,” katanya.
Xavier Ravi Chanderan juga berkata kerajaan patut melihat bantuan kos penyenggaraan kereta, seperti bantuan penyenggaraan yang diberikan kepada para nelayan.
“Baguslah dia beri bantuan kepada kita…tetapi RM800 tidak cukup kerana barang ini mahal,” katanya.
Mazlan Sharif pula menyeru pemandu teksi lain supaya berfikiran positif dan tidak menganggapnya sebagai “gula-gula” pilihan raya.
“Manusia memang tidak pernah rasa cukup dengan RM800 itu, RM1,000 juga tidak cukup, tapi yang penting pengurusan.
“Bersyukurlah dengan rezeki yang Tuhan berikan melalui Najib. Kita patut sokong dan fikir yang baik-baik, jangan fikir yang buruk, kena rajin sahaja. Cumanya cabaran sekarang Grab dan Uber sahaja.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.