Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker berkata ia bagi elak cetuskan kekeliruan dari segi autoriti dan risiko lemahkan rantaian pentadbiran.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Hanifah Abu Baker berkata dari sudut prinsip dan amalan politik yang sihat, jawatan itu wajar disandang presiden parti yang memiliki mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing.
“Pelantikan individu selain daripada kalangan presiden bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dari segi autoriti kepimpinan, malah berisiko melemahkan rantaian pentadbiran.
“Ia juga menyukarkan penyelarasan gabungan serta menjejaskan keberkesanan pembuatan keputusan strategik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata melantik pengerusi PN daripada kalangan timbalan atau naib presiden atau pihak luar berpotensi menimbulkan kekeliruan dari sudut mandat ahli, bidang kuasa serta kuasa membuat keputusan.
“Saya tidak pasti mengenai struktur dalaman PAS, namun kebiasaannya dalam kebanyakan parti politik, kuasa eksekutif tertinggi terletak pada presiden,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal berkata timbalan, naib Presiden serta wakil-wakil parti komponen yang menjadi anggota majlis tertinggi PN tetap mempunyai peranan penting berdasarkan jawatan yang disandang dalam PN.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin Bersatu itu menyokong Presiden PAS Hadi Awang sebagai pilihan paling rasional dan wajar sebagai pengerusi PN.
Pandangan ini muncul ketika satu nama mendapat sokongan terbuka daripada ketua sayap PAS dan Pemuda negeri, setakat ini.
Terdahulu hari ini, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Sanusi Nor, dapat persetujuan Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya sekiranya dicadangkan untuk jawatan pengerusi PN.
Terbaharu, Pemuda PAS Selangor menyatakan sokongan penuh kepada Sanusi, menegaskan “PN memerlukan kesinambungan yang lebih segar kepada rakyat dan negara”.
FMT mendapat pengesahan daripada Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa PAS belum memuktamadkan calon untuk jawatan pengerusi PN.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan isu jawatan pengerusi PN akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.