`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, April 22, 2026

Kelantan umum rangsangan ekonomi RM2 juta untuk petani, IKS

 Bantuan akan disalur secara bersasar babit petani dan pengusaha IKS, yang masing-masing akan terima RM1 juta.

Antara golongan yang akan terima bantuan bersasar kerajaan negeri termasuk petani dan pengusaha IKS. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
 Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat berjumlah RM2 juta bagi membantu golongan terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud berkata, pakej itu memberi manfaat kepada golongan petani serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi Kelantan.

Beliau berkata, bantuan akan disalur secara bersasar membabitkan RM1 juta kepada petani bagi memperkukuh sektor agromakanan dan RM1 juta kepada pengusaha IKS untuk menyokong kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela di samping memperkukuh daya tahan ekonomi Kelantan,” katanya pada sesi penggulungan sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, mekanisme penyaluran bantuan itu akan dimuktamad dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi menyelesaikan isu berkaitan termasuk pemilikan tanah peneroka.

Katanya, hal ini selepas isu berkenaan dibangkitkan oleh Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) ketika membahaskan titah ucapan diraja, yang turut mencetuskan perdebatan antara beliau dengan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) dan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).

“Isu berkaitan Kesedar dan tanah peneroka yang dibangkitkan menunjukkan masih terdapat perkara tertunggak yang belum diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri komited mengamalkan pendekatan federalisme matang dan konstruktif termasuk memperkukuh hubungan dengan kerajaan persekutuan serta menyelaras pembangunan melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.