`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, April 22, 2026

PRN Melaka, Johor tak tangguh, BN siap siaga, kata Zahid

 Pengerusi BN berkata beliau tidak mahu penangguhan menjadi 'bahan untuk orang melontarkan peluru'.

Zahid Hamidi yang juga presiden Umno secara bersahaja turut melihat kemungkinan PRN di Negeri Sembilan dan Perlis.
KUALA LUMPUR:
 Umno-Barisan Nasional (BN) sudah bersedia berdepan PRN Melaka dan Johor, kata Zahid Hamidi.

Pengerusi BN berkata, bukan sahaja PRN dua negeri itu tidak akan ditangguh malah akan dilaksanakan bila tiba masanya.

“Cadangan PRN ditangguhkan itu bukan pendirian Umno, itu juga bukan pendirian BN, itu pendapat peribadi seseorang dan tidak ada ‘endorsement’ daripada parti.

“Jadi, dalam keadaan itu, jangan buat keputusan untuk buat penangguhan dan ini menjadi bahan untuk orang melontarkan peluru kembali kepada kita. Apa pun keadaan BN, bilapun PRN diadakan tentunya kita telah cukup siap siaga untuk menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Forum BN ke-10 mengenai kesan konflik AS-Iran ke atas Malaysia di Auditorium Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Zahid yang juga presiden Umno secara berseloroh tidak menolak kemungkinan PRN Melaka dan Johor akan diadakan serentak, termasuk melibatkan Perlis dan Negeri Sembilan, berikutan beberapa isu yang berlaku termasuk keputusan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, menangguhkan sidang DUN.

“PRN mungkin ada juga berlaku di negeri paling Utara (Perlis) kerana DUN ditangguhkan. Saya tidak menolak kemungkinan di Negeri Sembilan pun akan berlaku. Inilah akibat konflik yang berlaku itu, bacaan cetek sayalah, kerana politik ini sangat dinamik,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan mencadangkan PRN Johor dan Melaka ditangguhkan sebelum menjelaskan ia sekadar pandangan peribadi, bukan mewakili parti.

Selain Ahmad, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong, dilapor mencadangkan penangguhan PRN kerana mahu mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup akibat krisis tenaga global.

Dalam perkembangan lain, Zahid turut memaklumkan sistem pendaftaran keahlian dalam talian Umno merekodkan hampir 10,000 ahli baharu dalam tempoh 48 jam sejak dilancarkan.

Zahid berkata, susulan agenda Rumah Bangsa Umno, ia akan diterjemah menerusi gabungan BN selepas ini bagi membolehkan permohonan untuk menjadi ahli secara terus dilaksanakan.

“Terdapat ahli profesional, individu dan juga pemimpin-pemimpin NGO yang mahu bersama bersama-sama dengan BN. Kita akan mengusulkan dalam Dewan Tertinggi BN supaya klausa yang terdapat di dalam Perlembagaan BN untuk permohonan menjadi ahli terus atau langsung ini akan dilaksanakan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.