`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Thursday, June 4, 2026

Kisah Saidina Ali dalam Hikayat Raja Khaibar

 Insiden Khaibar dan kegagahan Saidina Ali cukup menggerunkan watak-watak Yahudi sedia ada hari ini.

faisal tehrani

Terdapat sebuah manuskrip Melayu lama masih tersimpan di Perpustakaan Nasional Indonesia dengan judul Hikayat Raja Khaibar. Seperti mana manuskrip lainnya, Hikayat Raja Khaibar ini tertulis tangan dan syukur masih elok dan rapi. Justeru boleh dan mudah dibaca.

Berdasarkan judulnya, kita akan segera tahu ia adalah mengenai pertempuran Khaibar, iaitu antara sekelompok kaum Yahudi di luar kota Madinah yang berperang dengan kaum Muslimin pimpinan Rasulullah. Akan tetapi, dek namanya hikayat dan penuh alkisah, maka kita juga perlu membaca dan menilainya sebagai sebuah kisah atau cerita, dan sama sekali bukan sebagai sirah atau berita.

Apatah lagi jika kita membacanya, kita akan mendapati lingkungan atau latar hikayat ini sudah berubah, dan persisnya habitat tempatan. Malah, pasukan Islam seperti dirawi dalam hikayat, telah berdepan ancaman antara lain dari binatang seperti buaya.

Jadinya, memang kita perlu cekap membeza apa yang benar dan apa yang tidak. Baginda Nabi berangkat ke kota Khaibar ini dengan meninggalkan kota Madinah di tangan wakil pengganti seramai empat orang, yang antaranya adalah Saidina Ali. Tambahan pula, Saidina Ali digambarkan sebagai sedang uzur tatkala itu.

Dalam Hikayat Raja Khaibar ini diperikan kafilah dagang dari Madinah telah berdepan konflik awal dengan kaum Yahudi di Khaibar. Akibatnya kafilah dagang ini telah mengadukan hal kepada Nabi Muhammad yang setelah diturunkan wahyu, membuat keputusan membalas kematian dan serangan dimulai puak Yahudi ini.

Setelah lima belas hari perjalanan, ternyata pasukan perang Islam berdepan kejutan. Ini kerana kota Khaibar yang selalu didengar oleh mereka itu bukan calang-calang kota. Untuk tidak membesar-besarkan perkara, diperihalkan kononnya kota atau kubu Khaibar itu berlapis-lapis, dan menumpaskan kota ini dengan menyelinap masuk bukanlah sesuatu yang waras.

Oleh itu, tidak dapat tidak Rasulullah perlu memohon pertolongan Saidina Ali. Seperti yang kita ketahui, Saidina Ali adalah seorang pemuda atau lanang yang gagah, berani, dan mahir dalam peperangan.

Di kota Madinah, seruan kalbu Rasulullah itu diterima Saidina Ali menerusi mimpi, yang membuatkan baginda bingkas dari perbaringan lantas mencapai pedang, dan memecut kudanya ke Khaibar. Sebaik Saidina Ali tiba di luar Khaibar, pasukan perang Islam memulai rundingan dan negosiasi dengan harapan perang tidak diperlukan sama sekali.

Namun demikian, siri diskusi ini gagal dan Rasulullah membuat keputusan agar perang dilancarkan. Pun begitu, kota Khaibar bukan calang-calang kota. Pintunya berat dan besar. Serta terkenal sebagai benteng yang mustahil ditembusi. Pintu Khaibar itu punya signifikan dalam agama Yahudi, dan Islam.

Di tangan Saidina Ali bagaimanapun, pintu yang banyak lapis dari kayu terpaling utuh itu berjaya dicabut, dan lantas dipendekkan cerita, Saidina Ali akhirnya berjaya mencabut pintu Khaibar dengan sekali rentap dan membalingnya jauh ke medan luas yang menjadi tempat berlindung musuh.

Harus diingat, kisah Perang Khaibar tidak begitu ditonjolkan dalam pengajian sirah di negara kita. Barangkali kerana perang ini dianggap enteng. Akan tetapi sekali-sekala, kisah Khaibar ini akan meledak kembali. Pelbagai penjuru akan dibahas. Salah satu kepentingan kisah Perang Khaibar ini adalah antara lain kerana nama dan sosok Saidina Ali diserukan oleh Nabi Muhammad.

Ini menunjukkan kedudukan Saidina Ali begitu tinggi, dan paling penting lagi adalah pemerian Saidina Ali dalam hikayat ini yang luar biasa gagah. Hal ini tidak bersalahan dengan apa diketengah sirah. Bahkan Saidina Ali diriwayatkan seumpama seorang manusia super.

Di dalam hikayat ini, aksi Saidina Ali membongkar pintu kubu atau kota Khaibar ini disampaikan sepenuh gah lagi istimewa. Secara dramatik, gajah tunggangan soldadu Yahudi Khaibar ini ikut ditampilkan. Tatkala Saidina Ali mencabut pintu kota ini, pelukisan adegan itu dapat dikira perinci untuk zamannya.

Petikan dari Hikayat Raja Khaibar di bawah ini barangkali dapat menjelaskan bagaimana istimewanya ‘treatment’ orang Melayu kepada baginda: ‘Maka digerakkannyalah pintu kota itu, berguncanglah mereka itu selapis. Maka terjunlah kami sekalian dari atas bangunan. Akan Ali itu hendak dibantun pintu kota itu. Demi raja mendengar sembah menteri itu, maka segera dihalau gajahnya ke luar. Maka segala rakyat yang seperti laut, mengiringkan Raja Khaibar pun berlarilah ke luar. Maka, baginda Ali menggerakkan pintu, itu pun ditekan puil kanan dan ke kiri, makin di dalam pula ia, tertanam makin jauh gempanya bumi’.

Maka dihunjamkan baginda Ali pula sekali lagi masuk pintu itu ke dalam bumi, serta digerakkannya seperti dahulu ilu. Maka bergeraklah kota sedikit, itupun bergempalah. Maka, segala pendeta pun membuka kotanya, disangkanya gempalah akan kiamat.’

Terdapat banyak lagi penjelasan seumpama ini di dalam kitab tersebut. Apa yang menarik adalah bagaimana sejarah Khaibar dan kegagahan baginda Saidina Ali menjadi kunci mengalahkan musuh iaitu orang Yahudi. Insiden Khaibar dan kegagahan Saidina Ali sebenarnya masih cukup menggerunkan watak-watak Yahudi sedia ada hari ini.

Atas alasan itu, Iran malah meletakkan nama dua misilnya dengan rujukan Khaibar iaitu Kheibar (Khorramshahr-4) yang diperkenalkan pada 2023, iaitu peluru berpandu balistik jarak sederhana yang mampu mencapai jarak sehingga 2,000km serta membawa kepala peledak seberat 1,500kg.

Misil lain adalah Kheibar Shekan iaitu peluru berpandu balistik jarak sederhana generasi ketiga. Kedua-dua senjata ini digunakan dalam Perang Ramadan 2026 dengan berkesan. Jauh lebih berkesan dari misil milik Norway, pemungkir janji.

Sebagai sebuah manuskrip, Hikayat Raja Khaibar mengandungi pelbagai maklumat mengenai bagaimana pengikut Ahlul Bait di alam Melayu meletakkan kedudukan tokoh kesayangan mereka iaitu Saidina Ali di tempatnya dengan cara teramat strategik.

Seperti disentuh lebih awal, manuskrip ini juga mengalami anasir kemasukan pengaruh Syiah yang kemudian dicanai, diadaptasi, diakodomasi, dan diakulturasi. Rujukan haiwan berbahaya di Semenanjung Tanah Arab malah digantikan dengan binatang yang lebih mesra di rantau kita. -  FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.