`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Thursday, June 4, 2026

PRN Johor: Amanah nak runding dengan Bersama elak tembung kerusi

 Setiausaha agung Amanah berkata, proses agihan kerusi antara rakan komponen PH sudah 90% selesai, dengan hanya beberapa kerusi perlu diteliti semula.

Muhammad Faiz Fadzil
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil yakin PH mampu tambah kerusi di Johor pada PRN akan datang, mengambil kira sentimen rakyat yang ‘selesa dengan kerajaan pusat’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah bercadang untuk berunding dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menghadapi PRN Johor.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, usaha rundingan itu dibuat bagi memastikan tiada pertembungan kerusi antara Bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kita raikan hasrat Bersama mahu tanding PRN Johor. Amanah akan usaha berunding dengan Bersama supaya tak berlaku pertembungan kerusi melibatkan banyak parti dan melihat peluang yang ada untuk bentuk kerajaan atas semangat reformasi,” katanya kepada FMT.

Faiz berkata, parti itu turut menyasarkan bertanding lebih 20 kerusi, termasuk Puteri Wangsa yang diberikan kepada Muda pada PRN lepas.

“Pimpinan PH telah dimaklumkan agar Puteri Wangsa diberikan kepada Amanah. Kerusi itu asalnya kuota Amanah pada PRN 2022, tetapi diserahkan (kepada Muda) atas semangat dapatkan sokongan kerjasama,” katanya.

Beliau menambah, proses agihan kerusi antara rakan komponen PH sudah 90% selesai, dengan hanya beberapa kerusi perlu diteliti semula supaya ia dpt dimenangi PH.

Dalam pada itu, walaupun akan dicabar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Faiz yakin PH mampu menambah jumlah kerusi di Johor pada PRN akan datang, mengambil kira sentimen rakyat yang ‘selesa dengan kerajaan pusat’.

“Mood itu akan dibawa ke peringkat negeri (dan) jadi gelombang baharu dalam PRN Johor,” katanya.

Terdahulu dilaporkan Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan bahawa Bersama akan bertanding pada PRN Johor, dengan kerusi ditandingi akan diputuskan selepas perbincangan dengan wakilnya di negeri itu.

“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi Johor, walaupun Bersama berusia kurang dari sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu,” kata mereka.

Susulan pengumuman itu, penganalisis politik meramalkan bahawa langkah itu akan ‘memakan’ undi PH dan memecahkan lagi undi Melayu, sekali gus mencetuskan persaingan sengit antara blok politik utama.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin lepas, membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

BN sebelum itu membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022.

Pada PRN itu, PH menang 12 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi dan Muda satu kerusi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.