Penganalisis berpendapat kehadiran Bersama mungkin gugat undi PH khususnya PKR tetapi bukan BN di Johor.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, walaupun kehadiran parti diterajui bekas pemimpin PKR itu mampu menarik pengundi atas pagar, Perikatan Nasional (PN) tidak akan menang mudah susulan perpecahan undi Melayu dengan Barisan Nasional (BN).
“Kita mungkin fikir PN akan menang mudah jika bandingkan dengan senario jika PH dan BN bekerjasama, tetapi saya rasa ini akan jadi pilihan raya yang kompetitif sebab undi bandar pecah, undi Melayu pun pecah,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Syaza berkata kehadiran Bersama masih belum cukup kuat untuk mendesak PH dan BN Johor mengetepikan perbezaan demi menjalinkan kerjasama pilihan raya.
“Jika ada pun, adalah lebih baik untuk BN bekerjasama dengan PN bagi mengelakkan undi orang Melayu berterabur, sekali gus membiarkan PH dan Bersama bertempur sesama sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat kehadiran Bersama mungkin menggugat undi PH khususnya PKR tetapi bukan BN di Johor.
“Dalam situasi di Johor, hanya BN blok kerajaan,” katanya.
Fauzi turut meragui keupayaan PN untuk menjadi ancaman besar kepada BN kerana gabungan diterajui PAS itu masih kekurangan tapak kukuh di Johor, selain hanya mempertahankan tiga kerusi sedia ada.
Katanya, malah kekuatan PN di negeri itu semakin terjejas selepas Muhyiddin Yassin bertindak menyingkirkan kumpulan penentangnya dalam Bersatu.
“Nasionalisme Melayu di Johor secara tradisinya memihak kepada BN, bukannya PN atau PAS.
“Sebab itu BN bimbang jika dilihat bekerjasama dengan DAP menerusi acuan kerajaan perpaduan di Johor, kerana persepsi itu boleh menghakis sokongan orang Melayu kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, perbezaan ideologi antara nasionalisme konservatif Umno dan liberal reformis PH amat sukar disatukan, melainkan dalam keadaan terdesak seperti pasca PRU15 di peringkat persekutuan.
Semalam, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan Bersama, yang dilancarkan semula pada 17 Mei akan bertanding dalam PRN Johor susulan pembubaran DUN Isnin lalu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.