`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, July 16, 2026

‘Tech Zionism’ di Johor?

 Kita khuatir lama-kelamaan Zionis gila tetapi kononnya ‘tech’ ini akan menuntut Forest City, Johor sebagai sesuatu yang dijanjikan 3,000 tahun lalu.

faisal tehrani

Sebenarnya, sukar juga untuk kita mencerna tanggapan bahawa Johor serba-serbi tidak mengetahui perihal ‘Tech Zionism’ di negeri selatan itu. Malah, lebih untuk ditertawakan ialah kisah hangat ini hanya mendapat perhatian lebih meluas setelah PRN Johor itu berakhir. Memang agak aneh Johor dengan mudahnya melencongkan kembali kewujudan Network School di Forest City yang dikaitkan dengan ‘Tech Zionism’ kepada kerajaan persekutuan. Seolah-olah Johor memang serba naif dan tidak tahu.

Zionisme memang sentiasa memikirkan cara untuk berkembang. Ada-ada saja caranya. Jika di Asia Barat, Zionis melahap mengambil tanah dan meluaskan penaklukannya. Mereka membunuh di Palestin dan Lubnan. Jika di Amerika Syarikat pula mereka menyuap ahli-ahli politik negara itu dengan wang.

Di Asia Tenggara, Zionisme memilih cara lain; lapar perhatian dan tawaran pelancongan yang menggiurkan membolehkan Israel mencari peluang.

Di Thailand, pihak berkuasa negara itu pernah menyerbu sebuah sekolah, atau diperkenalkan sebagai pusat pembelajaran untuk mengelak perhatian berlebihan. Pusat ini dikenali sebagai Arki Kid School di pulau pelancongan Koh Phangan. Ia diserbu pada awal Mei 2026. Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa Thai menemukan seramai 89 kanak-kanak warga Israel berusia antara dua hingga 12 tahun yang sedang mengikuti sesi pembelajaran di premis berkenaan. Kesalahan premis ini adalah kerana ia beroperasi tanpa permit sah dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan imigresen, pendidikan dan status operasi.

Di Filipina, rakyat di Pulau Siargao mulai resah dengan kehadiran beramai-ramai warga Israel, yang dikatakan suka terlibat dalam perkelahian serta ketegangan awam. Mereka juga merancang membina sebuah pusat kebudayaan, seolah-olah Pulau Siargao itu adalah bahagian dari Israel. Di Bali, Indonesia; dua orang warga yang dipercayai bekas tentera Israel, bernama Shachar Gonen dan Adi Hashamonai telah pun sempat membangun perniagaan dan vila mewah di kawasan Pererenan, Badung. Mereka diketahui masuk ke Indonesia dengan menggunakan pasport Jerman berlagak sebagai pendana dan pelabur. Terdapat juga dakwaan warga Israel memiliki beberapa perniagaan restoran di pulau peranginan itu.

Zionisme mestilah difahami adalah satu ideologi. Ia tidak semestinya diimani oleh seorang warga Israel. Boleh sahaja seorang Melayu itu sendiri Zionis. Mana-mana Meor, mana-mana tengku, mana-mana Sharifah, mana-mana Nik atau mana-mana Wan pun boleh terjebak menjadi Zionis. Sebagai misalan, ia seperti fahaman komunis. Justeru, Zionisme tidak memerlukan sempadan negara untuk merebak. Jika pun seorang Zionis itu adalah warga Israel, mereka juga sukar dikesani kerana kebanyakan warga Israel memiliki pasport atau kewarganegaraan kedua. Mereka boleh sahaja memasuki Malaysia, di Johor katakan, dengan pasport yang lain dari negara haram Israel. Saya pernah menulis mengenai hal ini di kolum saya di sini tahun lalu, dengan judul Bayangkan Ejen Mossad di Komtar JB.

Jika begitu, apa pula ‘Tech Zionism’?

‘Tech Zionism’ adalah satu fahaman yang Zionisme tidak seharusnya berakhir dengan penubuhan negara Israel sahaja. Zionis percaya ideologi ini seharusnya berkembang dan boleh berubah bentuk serta menyesuaikan diri dengan perubahan zaman moden. Zionis percaya yang imigrasi tidak patut berhenti, mesti selalu dirintis tetapi kekal didorong oleh cita-cita yang sama. Pengamal ‘Tech Zionism’ percaya yang individu Zionis mesti aktif di hadapan komputer, mengendalikan sistem canggih dalam pelbagai bidang seperti telekomunikasi, pertanian, perubatan dan pendidikan.

Pada tahun 1990-an, rakyat Israel, Jacob Ner-David (nama asal Davidson), mengasaskan portal komunikasi Deltathree.com Inc. Ia dipercayai adalah antara portal komunikasi pertama di dunia yang mampu menghantar panggilan telefon, faks, e-mel dan mel suara melalui internet. Ner-David, berasal dari Amerika Syarikat, memiliki ijazah undang-undang dari Universiti Georgetown, dan telah terlibat aktif dalam pelbagai gerakan Yahudi dan pro-Israel sejak muda. Ner-David percaya kepada ‘Zionisme ekonomi’ yang berhasrat menjajah dunia dengan ideologi ini.

‘Tech Zionism’ adalah bahagian daripada Zionisme ekonomi ini. Hari ini Tech Zionism dimudahkan dengan kelahiran generasi nomad digital. Kerja nomad digital ini banyaknya hanya di hadapan komputer, manakala majikan mereka mungkin sahaja di New York, Tokyo, Paris, atau Tel Aviv. Nomad digital dengan itu tidak perlu pun berada di pejabat. Mereka boleh sahaja berada di Phuket, Bali, Manila, atau Forest City, di Johor. Mereka datang dari pelbagai negara, menggunakan pasport kedua, dan boleh menjadi sebuah komuniti.

Malaysia yang mengalu-alukan pelabur dan nomad digital yang tebal sakunya ini akan mengesahkan kemasukan mereka tanpa banyak soal. Mereka boleh sahaja bekerja di hadapan laptop di Starbucks di IOI Putrajaya, atau di Shah Alam. Mereka boleh saja menginap di mana-mana staycation di Port Dickson atau Kuala Pilah di Negeri Sembilan. Tetapi nomad digital ini tertarik sangat memilih Forest City di Johor. Barangkali Johor itu dekat dengan sempadan Singapura.

Tetapi benarkah mereka di Forest City itu Zionis?

Ada sebab untuk warganet bikin heboh. Sebetulnya kewujudan kelompok ini telah didedahkan tahun lepas apabila vlogger Zionis, Nuseir Yassin, atau dikenali sebagai Nas Daily, merakam aktiviti di Johor mempromosi Network School. Nuseir Yassin, seorang Arab tetapi Zionis (jadi boleh sahaja Melayu pun Zionis) memaparkan lansdkap kota di Johor Bahru dan Singapura. Kehadiran Nuseir ini telah pun kecoh dan heboh ketika itu. Tetapi belum ada angin PRN atau PRU maka siapa ambil peduli kalau anak-anak kita heboh pun. Pun, video Nas Daily itu kini telah hilang dipadam.

Network School ini ditubuhkan pada tahun 2024, mengambil kesempatan dari tanah-tanih dan hartanah yang tidak dipeduli orang. Ia dijenama sebagai ‘private residential community’ di Forest City, Johor dengan dana besar daripada Balaji Srinivasan.

Entahlah, masakan pelaburan besar masuk dari Amerika Syarikat sebegini ke Forest City tidak diketahui langsung oleh Johor, dan jatuh salah atas kerajaan persekutuan semata-mata.

Zionisme ada satu gagasan untuk menuntut tanah atau hak orang dengan alasan mereka telah dijanjikan hak tanah itu kira-kira 3,000 tahun lalu (sekitar 1000 SM). Ini menjadi alasan mereka ingin meluaskan wilayah ke Mesir, Arab Saudi, Iran malah Iraq. Semua ini akan membantu pembentukan kerajaan Bersatu Israel dan Yehuda (United Monarchy of Israel and Judah). Dalam angan-angan mereka, Raja David berjaya menyatukan suku-suku Israel, menawan Baitulmaqdis dan menjadikannya ibu kota kerajaan tersebut.

Kita khuatir lama-kelamaan Zionis gila tetapi kononnya ‘tech’ ini akan menuntut Forest City, Johor sebagai sesuatu yang dijanjikan 3,000 tahun lalu. Forest City, kita terlepas mulut China, masuk mulut Zionis. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.