Dia ditahan ketika cuba membawa masuk bahan terbabit menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai.

Menerusi kenyataan di Press Information Bureau (PIB) India semalam, Kastam Chennai memaklumkan bahawa penumpang berkenaan tiba dari Bangkok pada malam 7 Ogos lalu.
Menurutnya, penumpang terbabit cuba keluar melalui Laluan Hijau tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak kastam sebelum dia ditahan pegawai Unit Perisikan Udara (AIU) untuk pemeriksaan berdasarkan pemprofilan yang dilakukan.
Pemeriksaan sinar-X terhadap bagasi daftar masuknya kemudian memaparkan imej mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan empat bungkusan berisi bahan kehijauan dan berketul yang mengeluarkan bau tajam serta menyengat, disyaki ganja hidroponik bermutu tinggi.
“Bungkusan berkenaan disembunyikan dalam ruang khas yang dibina pada bahagian bawah bagasi daftar masuk itu,” katanya kenyataan itu, menurut Berita Harian.
Menurut pihak berkuasa itu, bahan dengan berat bersih 4,033 gram itu disahkan positif ganja menerusi kit pengesanan dadah.
“Dadah berkenaan dirampas mengikut Seksyen 43(a) Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 India.
“Penumpang itu kemudian ditahan serta direman dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Justeru, Kastam Chennai menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda supaya berwaspada dengan tawaran perjalanan ke luar negara yang ditaja serta peluang memperoleh wang mudah dengan membawa bagasi tidak diketahui.
“Analisis kes terkini mendapati sindiket penyeludupan sering menyasarkan golongan muda dengan membiayai perjalanan, penginapan dan perbelanjaan lain sebelum menggunakan mereka untuk membawa serta menyerahkan barangan terlarang ke India,” katanya.
Pada September tahun lalu, Direktorat Perisikan Hasil India (DRI) melaporkan peningkatan mendadak cubaan menyeludup ganja hidroponik dari Thailand menerusi beberapa lapangan terbang negara itu.
Agensi berkenaan merampas 108.67kg ganja hidroponik yang disyaki diseludup dari negara itu dalam beberapa operasi di seluruh India dalam tempoh kurang 20 hari. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.