Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata PH tidak campur tangan dalam tindakan JPPM terhadap PN.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata tindakan JPPM itu dibuat susulan aduan Bersatu, yang juga parti komponen PN.
“Pakatan Harapan (PH) tidak campur tangan langsung berkaitan tindakan yang diambil terhadap PN.
“Amanah menyerahkan sepenuhnya kepada JPPM dalam isu ini,” katanya kepada FMT.
JPPM sebelum ini mengesahkan semua aktiviti PN digantung berkuat kuasa 23 Sept susulan aduan Bersatu, selain memberi gabungan itu tempoh munasabah untuk memberikan penjelasan.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan pula berkata gabungan itu sedang mengambil langkah undang-undang segera susulan penggantungan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan masa tindakan itu yang dibuat ketika pembubaran DUN Melaka diumumkan dan berkuat kuasa bagi membuka laluan kepada PRN.
Takiyuddin juga tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN itu berpunca daripada agenda berniat jahat dan tekanan politik daripada pihak di dalam serta luar gabungan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Mobilisasi Amanah Abbas Azmi menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai cubaan mengalihkan kesalahan kepada kerajaan.
Menurutnya, penggantungan PN berpunca daripada masalah dalaman gabungan itu sendiri susulan aduan yang dibuat Bersatu kepada JPPM.
“Jadi saya nasihat Takiyuddin supaya memahami isu dan jangan menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Ini kerana kesalahan berpunca daripada kelemahan PN, terutama PAS, dalam mentadbir dan menguruskan organisasi PN sendiri.
“Itu perangai PAS yang tidak mahu mengaku kesalahan sedangkan kesalahan itu dilakukan mereka sendiri,” katanya.
JPPM berkata perintah penggantungan itu dikeluarkan mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, selepas notis kepada PN dikeluarkan pada 22 Sept.
Menurut jabatan itu, penggantungan berkenaan bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar peraturannya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.