Sanusi Nor ulas penggunaan lambang parti itu susulan keputusan JPPM menggantung aktiviti PN susulan aduan Bersatu.

Sanusi berkata perkara itu belum dibincangkan dan PAS akan menunggu mesyuarat kepimpinan pusat parti yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Belum bincang lagi…tunggu mesyuarat PAS Pusat sikit masa lagi,” katanya kepada FMT.
Secara berseloroh, Sanusi berkata lambang yang digunakan bukan isu besar sekiranya pertandingan itu membabitkan Pakatan Harapan (PH).
“Kalau nak lawan PH, lambang selipar Jepun pun orang akan bagi undi.”
Beliau mengulas persediaan PAS menghadapi PRN Melaka dan kemungkinan parti dalam PN perlu menggunakan lambang masing-masing sekiranya penggantungan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berterusan.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan penggantungan semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 Sept selepas mengeluarkan notis meminta gabungan itu menjelaskan aduan dikemukakan Bersatu.
Pada Jun, PAS bertindak menghentikan kerjasama politiknya dengan Bersatu. Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin serta Pejuang pimpinan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir, kemudiannya diterima masuk sebagai komponen PN.
PN turut dianggotai Gerakan dan MIPP.
PN juga membentuk pakatan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan, langkah didakwa Bersatu dibuat secara sepihak. Bersatu bertanding di semua 24 kerusi secara solo, namun tumpas di setiap kerusi itu.
Presiden PAS Hadi Awang kemudiannya mendakwa Bersatu secara automatik terhenti daripada menjadi komponen PN selepas mengumumkan perancangan membentuk gabungan baharu, namun Bersatu mempertikaikan dakwaan tersebut.
Penggantungan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan PN menjelang PRN Melaka, termasuk penggunaan lambang gabungan berkenaan oleh parti yang bakal bertanding.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam, membuka laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.