Pegawai dikaitkan dengan dakwaan itu telah dipanggil pihak pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Komander Pintu Masuk AKPS KLIA, Safrie Zakaria, berkata siasatan dijalankan serta-merta oleh Bahagian Integriti AKPS KLIA sebaik sahaja pihaknya mengambil maklum hantaran tular dalam platform Threads pada Sabtu lalu.
Hantaran itu mendakwa pegawai terbabit menerima RM100 melalui pembayaran kod QR ke akaun perbankan peribadi.
“Pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut telah dipanggil pihak pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, AKPS KLIA telah menghubungi pemilik akaun Threads itu kira-kira 11 pagi semalam bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden yang didakwa berlaku, namun sehingga 4 petang tadi, tiada maklum balas diterima daripada pemilik akaun berkenaan.
Tegasnya, AKPS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa atau ingkar prosedur operasi standard.
“Sekiranya hasil siasatan membuktikan wujud sebarang salah laku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.”
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.