Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata pemegang kad UNHCR yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan dikenakan tindakan.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Ekonomi.
Jelasnya, perkara itu dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara susulan kebimbangan rakyat terhadap pengurusan pelarian, khususnya isu dokumentasi, sindiket pemerdagangan manusia dan kesannya kepada keselamatan komuniti setempat.
Beliau berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.
“Operasi bersepadu untuk membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram akan dipertingkatkan.
“Analitik data dan teknologi pemantauan akan dimanfaatkan bagi mengesan risiko serta menyokong tindakan penguatkuasaan.”
Menurutnya, RM1.2 bilion diperuntukkan merentasi beberapa agensi bagi projek berkaitan kawalan dan keselamatan di pintu masuk negara.
Katanya, peluasan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan juga sedang dipercepatkan bagi menyeragam pengurusan serta penguatkuasaan sempadan.
Selain keselamatan domestik dan sempadan, isu keterjaminan makanan serta daya tahan sektor pembuatan dalam mendepani tekanan rantaian bekalan global turut menjadi tumpuan dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.