Dr Noor Aishah Rosli berkata, dapatan itu diperoleh hasil temu bual dengan rakan-rakan mangsa di sekolah menengah dan beberapa dokumen lain.

Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang berpengalaman kira-kira 18 tahun berkata, dapatan itu diperoleh hasil temu bual dengan rakan-rakan Zara Qairina di sekolah menengah dan beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan berkenaan.
“Saya mendapati wujud unsur buli verbal, saya tak nampak buli fizikal … buli melabelkan dia, ‘ignore’ dia, ada juga ditulis di dinding, buli siber pun berlaku, cuma saya tidak boleh akses semua sebab telah dipadam.
“Dikatakan Zara pernah sebut dengan ibunya tentang ‘kakak-kakak’ yang jahat, jumpa di pusat beli-belah mengelak, di sekolah ada jamuan Hari Raya mengelak, tidak selesa keadaan itu,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan semasa prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, mengenai laporan profil autopsi psikologi disediakannya yang turut mengambil kira elemen unsur buli yang berlaku terhadap remaja itu.
Noor Aishah berkata, Zara Qairina mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan di sekolah rendah dan remaja itu digambarkan sebagai seorang yang ceria serta suka bersedekah, namun isu berkaitan buli timbul ketika sekolah menengah.
Mengenai catatan dairi remaja itu, beliau berkata, penggunaan perkataan kesat terhadap ibu pelajar itu tidak boleh dijadikan penentu kepada hubungan mereka kerana diari ialah medium luahan perasaan bersifat sementara ketika berdepan emosi tertentu.
Katanya, penggunaan kata-kata kesat dalam catatan diari juga tidak semestinya menunjukkan wujud masalah dalam hubungan remaja itu dengan ibunya kerana tiada perasaan benci ditunjukkan berdasarkan perbualan telefon antara mereka, sebaliknya Zara Qairina banyak berkongsi mengenai kehidupan hariannya.
“Dalam membuat penilaian seseorang manusia, tidak boleh berdasarkan satu faktor sahaja … ia luahan seorang remaja yang belum matang … diari semata-mata tidak cukup kuat,” katanya.
Beliau berkata, perpisahan ibu bapa bukan faktor penyumbang kepada masalah dihadapi Zara Qairina kerana remaja itu tidak pernah melihat keganasan rumah tangga sebaliknya membesar dalam persekitaran positif dan dikelilingi individu yang saling menyayangi termasuk pengasuh serta ahli keluarga lain.
Terdahulu, beliau berkata, maklumat mengenai hubungan harian, komunikasi telefon, pemerhatian saksi, sejarah perkembangan dan interaksi ibu anak secara keseluruhan tidak memberi sokongan kukuh kepada hipotesis bahawa hubungan Zara dengan ibunya adalah faktor utama atau pencetus dominan kepada tindakan menamatkan nyawa sendiri.
“Saya juga menilai hubungan Zara dengan ayahnya. Walaupun tidak tinggal bersama dan ayahnya tidak sentiasa hadir secara fizikal, Zara masih mempunyai hubungan komunikasi melalui telefon dan WhatsApp,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.
“Dalam penilaian saya, ketiadaan bapa secara fizikal tidak boleh secara automatik dianggap menyebabkan kegagalan rasa kepunyaan (sense of belonging) kerana ia bergantung kepada kualiti hubungan interpersonal yang dirasai, bukan semata-mata struktur keluarga.”
Noor Aishah juga memaklumkan, tiada rekod menunjukkan Zara Qairina mempunyai diagnosis penyakit mental serius atau sejarah rawatan psikiatri konsisten dengan risiko bunuh diri yang tinggi.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Prosiding inkues dijadual bersambung esok dengan saksi sama. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.