Hasil dari Sungai Muar beri rezeki kepada penduduk Kampung Parit Tiram.

Tiada tarikan pelancong, tiada kemeriahan, malah ramai penduduk Muar sendiri tidak mengetahui kampung itu menyimpan khazanah sungai yang cukup bernilai.
Namun, hari ini suasananya berubah.
Kampung yang dahulu sepi kini mula dikunjungi orang ramai, termasuk pelancong dari luar negara, semata-mata menikmati tiram segar Muar yang disebut-sebut antara terbaik dari segi kualiti, saiz dan isi.
Di sebalik perubahan itu ialah usaha pembekal dan peraih tiram Kampung Parit Tiram, Zaidi Mohd Noh, 59, yang mahu mengangkat nama kampung kelahirannya melalui hasil tiram.
Zaidi berkata, ketika memulakan perniagaan pada 2014, hasratnya bukan sekadar menjual tiram, tetapi menghidupkan semula Kampung Parit Tiram yang ketika itu kurang dikenali.
“Tiada orang datang dan ramai tidak tahu di sini ada tiram. Saya hanya berkongsi maklumat mengenai tiram di media sosial supaya orang kenal produk ini,” katanya kepada FMT.
Usaha itu membuahkan hasil apabila sambutan diterima di luar jangkaan.

Pada awalnya, tiram mentah dijual sekitar RM3 sebiji, manakala satu set 10 tiram siap dimasak dijual antara RM35 hingga RM40, bergantung kepada kos operasi.
Kini, permintaan terus meningkat dengan pelanggan datang dari seluruh negara, selain Jepun, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.
Menurut Zaidi, bekalan tiram turut dihantar ke Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Johor Bahru dan Kuala Lumpur mengikut permintaan.
Katanya, pasaran Singapura masih belum diterokai sepenuhnya kerana melibatkan urusan permit.
“Permintaan pernah mencecah 3,000 hingga 4,000 biji sehari, terutama pada hujung minggu dan musim cuti,” katanya.
Lebih membanggakan, Zaidi berkata hasil kajian beberapa universiti termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia mendapati tiram Muar antara yang terbaik dari segi kualiti, saiz dan isi.

“Tiram di sini lebih gebu dan bulat.
“Kami mempunyai dua spesies utama, iaitu tiram putih atau tiram telur, serta spesies baharu yang dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii,” katanya.
Bagaimanapun, Zaidi berkata kejayaan industri tiram Muar tidak akan bermakna jika tiada pelapis untuk meneruskannya.
Beliau berkata, lebih ramai usahawan muda perlu diberi galakan untuk memasarkan tiram supaya produk tempatan itu tidak hanya bergantung kepada beberapa individu.
“Jika tiada generasi yang menyambung usaha ini, produk ini mungkin akan pupus,” katanya.

Seorang pelanggan dari Kuala Lumpur hanya mahu dikenali sebagai Seri, berpuas hati dengan kualiti tiram Muar kerana isinya besar, segar dan berpatutan.
“Biasanya tiram di hotel nipis, tetapi yang di sini gemuk. Bila makan memang puas, harga pun murah,” katanya.

Pertaruh nyawa cari tiram
Di sebalik keenakan tiram Muar, ada penyelam yang mempertaruhkan keselamatan setiap hari bagi memastikan bekalannya tidak terputus.
Penyelam tiram, Zaimi Mohd Noh, 57, berkata beliau mula menyelam sejak berusia 13 tahun dan kini berpengalaman lebih empat dekad mencari tiram liar di dasar Sungai Muar.
Bekas anggota tentera itu berkata, kerja menyelam memerlukan kemahiran tinggi kerana dilakukan tanpa alat bantuan pernafasan.
Katanya, penyelam hanya turun ketika air tenang, iaitu antara waktu pasang dan surut, kerana arus deras boleh mengundang bahaya.
Berbekalkan sebatang kayu bakau yang dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan, Zaimi menyelam dan meraba dasar sungai untuk mengutip tiram satu demi satu menggunakan tangan.

Kaedah tradisional itu diwarisi turun-temurun, malah pernah direkodkan dalam jurnal seorang kapten British seawal 1858.
“Kami menyelam sedalam 10 hingga 12 kaki, kadang-kadang sampai 33 kaki.
“Kami hanya berpaut pada galah ketika turun ke dasar sungai kerana arus sangat deras. Jika tidak berhati-hati, boleh dihanyutkan,” katanya.
Menurut Zaimi, seorang penyelam mampu memperoleh sekitar lima hingga enam kilogram isi tiram bersih sehari, yang dijual pada harga antara RM40 hingga RM50 sekilogram.
Walaupun berdepan risiko, termasuk masalah pendengaran dan kesihatan akibat menyelam terlalu lama, beliau tetap meneruskan pekerjaan itu demi menyara keluarga.
“Setiap pekerjaan ada risikonya. Yang penting minat dan semangat untuk menyara keluarga,” katanya.
Namun, Zaimi bimbang apabila jumlah penyelam tiram semakin berkurangan.
Katanya, jika dahulu terdapat sekitar 40 hingga 70 penyelam, kini hanya tinggal lapan hingga 10 orang yang masih aktif.
“Saya berharap lebih ramai anak muda tampil menjadi pelapis supaya warisan penyelam tiram ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.