`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, July 13, 2026

Percaturan kaum dan agama yang tiada penghujung

 Ahli politik akan mengatakan apa yang mahu kita dengar sebelum kembali kepada cara lama mereka.

tajuddin rasdi

Politik ialah permainan catur yang penuh muslihat dan memerlukan pemainnya bijak mengatur langkah.

Apabila ahli politik tidak lagi memegang jawatan atau menjauhkan diri daripada parti yang pernah membentuk imej mereka, mereka tiba-tiba berani menyuarakan perkara dekat dengan hati rakyat biasa.

Mereka bercakap tentang pembaharuan, membawa pandangan lebih waras dalam perdebatan hangat dan kelihatan lebih jujur serta ikhlas.

Namun, sebaik sahaja mereka kembali aktif dalam politik kepartian, isu kaum dan agama hampir serta-merta kembali menguasai percakapan mereka. Begitulah hakikat dunia politik.

Carian ringkas di Google mengenai tokoh politik terkenal akan menunjukkan corak yang sama: apa yang mereka katakan ketika berkempen, janji selepas dipilih, sikap ketika berkuasa dan cara mereka bercakap selepas diketepikan parti atau pemimpin.

Sebab itu, pengundi tidak seharusnya terlalu mudah terpesona dengan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan yang sedap didengar, khususnya ketika musim pilihan raya.

Hakikatnya, mereka sedang memasarkan diri dengan satu tujuan, iaitu untuk mendapatkan undi.

Jika memakai kopiah, memperjuangkan reformasi, menyarung jersi bola sepak, bercakap tentang hak Melayu atau mengikuti trend terbaru TikTok boleh menarik sokongan, mereka akan melakukannya.

Cabaran sebenar bagi pengundi adalah untuk mengenal pasti wajah sebenar di sebalik imej yang ditampilkan ahli politik.

Di sinilah terletaknya satu perkara penting, khususnya bagi masyarakat bukan Melayu: isu berkaitan identiti Melayu dan Islam tidak akan hilang.

Sebaliknya, keadaan politik semasa akan menyebabkan isu berkenaan semakin kuat dimainkan.

Sama ada kita bersetuju dengan cara isu itu dibingkaikan atau tidak, perkara berkaitan Melayu dan Islam sangat penting kepada pengundi Melayu-Islam, yang membentuk kira-kira 60% daripada keseluruhan pengundi.

Oleh sebab pilihan raya bergantung kepada jumlah undi, parti dan gabungan politik sudah tentu akan cuba memenangi sokongan kelompok ini.

Gagasan ‘politik baharu’ diperjuangkan Rafizi Ramli masih belum sesuai dengan realiti politik semasa.

Politik berasaskan kaum akan terus kekal, sekurang-kurangnya buat masa ini. Percaturan politik semasa memastikan kaum dan agama terus menjadi isu utama.

Suara golongan yang sering dilabel sebagai ‘Melayu liberal’ pula akan terus dipinggirkan, malah istilah itu sering digunakan sebagai satu penghinaan.

Saya pernah berharap Umno, selepas mengalami kekalahan besar dalam dua pilihan raya, akan berubah menjadi parti yang lebih sederhana dan progresif.

Namun, parti itu sebenarnya hanya berdiam diri sementara menunggu masa yang sesuai untuk kembali merapatkan hubungan dengan PAS.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus diakui cuba mengimbangi tuntutan untuk menjaga sokongan orang Melayu dengan usaha melaksanakan pembaharuan tanpa mencetuskan pergolakan besar.

Atas sebab itu, saya tidak bersetuju dengan pengkritik yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal atau DAP sudah tidak lagi mempunyai pengaruh.

Sama ada kita suka atau tidak, naratif mengenai ketuanan Melayu sudah meresap ke dalam universiti, membentuk perbincangan agama serta mempengaruhi golongan ‘Mat Rempit’ dan pesara.

Buat masa ini, berharap kepada parti baharu untuk memberikan pengakhiran yang sempurna kepada masalah Malaysia adalah sesuatu yang sia-sia.

Masyarakat bukan Melayu perlu menerima realiti pengaruh konservatisme Islam dan naratif ketuanan Melayu.

Mereka perlu memilih parti yang mampu menangani isu sensitif ini secara berhati-hati tanpa mencetuskan tindak balas yang lebih buruk.

Mereka yang menjanjikan penyelesaian segera sama ada tidak memahami realiti politik atau sengaja mahu memperdayakan rakyat Malaysia.

Akhirnya, walaupun seseorang ahli politik kelihatan progresif, mereka tetap terikat dengan peraturan permainan politik yang buruk dan penuh helah ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.