Maimunah Yaacob menghasilkan batik dengan motif berasaskan warisan dan alam di Johor.

Maimunah dengan rapi mendekatkan hujung mata canting pada kain regang, melakar corak berbentuk lada hitam, buah berembang dan gambus yang sinonim dengan negeri di selatan tanahair itu, sebelum beralih ke proses mewarna.
“Saya mahu bila orang nampak motif lada hitam, gambir atau gambus, mereka terus tahu itu batik Johor. Macam orang kenal batik Indonesia atau batik Pantai Timur, saya juga mahu batik Johor ada identitinya sendiri. Itu yang paling membanggakan saya,” katanya kepada FMT, ketika ditemui di bengkel yang terletak bersebelahan rumahnya, di Kota Tinggi.
Wanita berusia 58 tahun ini menerangkan setiap corak diilhamkan daripada setiap daerah di Johor, seperti buah berembang yang banyak di Muar, dan batu karang di perairan Kota Tinggi.
Maimunah beritahu FMT bahawa keinginan untuk mengabadikan Johor pada batik tercetus pada 2022, apabila reruainya di Kuala Lumpur dikunjungi Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sempena Hari Kraf Kebangsaan.
“Baginda tidak lalu gerai saya pada mulanya, kemudian berpatah balik selepas saya menjerit ‘Johor… Johor’. Baginda kemudian bertanya, ‘Mana yang dikatakan batik Johor?’
“Waktu itu tercetuslah idea untuk keluarkan batik bermotifkan apa yang ada dalam negeri Johor,” katanya yang sudah 31 tahun mengusahakan batik.

Maimunah mula menuntut ilmu batik lebih tiga dekad lalu melalui kursus kemahiran di Terengganu, bawah program untuk anak-anak nelayan anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kemudian menyambung pengajian dua tahun di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Johor.
Berbekalkan modal kira-kira RM2,000, Maimunah memulakan perusahaan batik pada 1995 dengan hanya sebuah pemidang kain di rumah ibu bapa.
Kini, Ranorm Batik Creation, menerima tempahan pakaian sepanjang tahun sambil menawarkan kelas kepada orang ramai, termasuk pelajar sekolah yang berminat mempelajari seni batik.
Di sebalik minat yang mendalam pada batik, Maimunah akui perjalanan ini tidak lagi sama sejak suaminya meninggal dunia tahun lalu — penyokong beliau yang paling kuat.
Maimunah cekal membimbing anak keduanya agar dapat mewarisi legasinya, demi memastikan seni batik dengan identiti Johor terus dipelihara untuk generasi akan datang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.