`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, July 6, 2026

Dewan Rakyat lulus RUU pinda Suruhanjaya Persaingan, perkasa peranan MyCC

 Menteri KPDN berkata, RUU babit 34 pindaan itu penting untuk perkukuh fungsi pasaran yang adil, telus dan dinamik.

dewan rakyat
Dewan Rakyat hari ini lulus RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, bagi memperkasakan peranan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan memastikan keseluruhan kerangka perundangan persaingan negara dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, RUU yang membabitkan 34 pindaan itu penting bagi memperkukuh fungsi pasaran yang adil, telus, serta dinamik dalam mendepani aktiviti kartel yang semakin kompleks dan cekap.

Katanya, skop undang-undang di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan sedia ada, secara khususnya menetapkan ruang lingkup kawalan ke atas pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran, penipuan bida dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.

Melalui pindaan terbaru itu, Armizan berkata, kuasa MyCC untuk menghendaki pemberian maklumat kini diperluas dengan turut merangkumi pelaksanaan kajian semula pasaran.

“Langkah ini bagi memastikan peranan MyCC dapat diperkukuh, supaya sebarang kajian semula pasaran menjadi lebih komprehensif dan holistik, sekali gus mengatasi masalah kesukaran mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan, perusahaan, mahupun pihak tertentu sebelum ini,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran pengurusan organisasi yang semakin luas, Armizan berkata, RUU itu turut memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 17A (Perwakilan Kuasa dan Fungsi).

Armizan menjelaskan, tanpa peruntukan yang jelas, kecekapan operasi harian dan pentadbiran MyCC boleh terjejas.

Terdahulu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menyertasi sesi perbahasan RUU itu, antara lain membangkitkan isu peluasan kuasa kepada pengawai MyCC untuk mengenakan penalti kewangan, dibimbangi akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Chong Zhemin (PH-Kampar) yang menyokong cadangan memindahkan kuasa kepada MyCC untuk mengenakan penalti kewangan dan caj pembayaran lewat, berpandangan pelaksanaannya perlu berpandukan garis panduan yang jelas, telus dan konsisten bagi mengelakkan beban terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan kecil.

Chong berkata, penalti yang dikenakan perlu cukup tegas supaya syarikat besar tidak menganggapnya sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan.

“Jika keuntungan daripada pelanggar undang-undang jauh lebih tinggi daripada penalti, maka undang-undang itu tidak akan menakutkan sesiapa,” katanya.

“Dalam mengenakan penalti … kita juga perlu membezakan antara kartel besar yang sengaja menipu pasaran dengan perusahaan kecil yang mungkin melakukan kesalahan kerana kurang kefahaman..

Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan-Kota Belud) pula mencadangkan kerajaan menubuhkan cawangan MyCC di Sabah bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang persaingan dan mempercepatkan tindakan terhadap aduan berkaitan kartel serta monopoli di wilayah Borneo.

Isu sama turut disentuh Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan).

Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.