Namun, mereka berkata parti itu berdepan cabaran besar dari segi jentera, sumber dan sokongan akar umbi pada PRN Negeri Sembilan.


Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata dari segi cabaran, Negeri Sembilan bukan kubu parti pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana hanya menang dua kerusi pada PRN 2023 iaitu Labu dan Gemas.
Penyandang Gemas Ridzuan Ahmad yang baru-baru ini keluar Bersatu diumum sebagai calon PN dari Parti Wawasan Negara. Bekas ketua pembangkang DUN Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker pula mewakili Labu.
Menurut Tawfik, keadaan itu mungkin tidak menjadikan Bersatu sebagai ‘pemain utama’ pada pilihan raya 1 Ogos depan namun untuk jangka panjang ia dapat membina imejnya sendiri.
“Penggunaan lambang sendiri boleh bantu Bersatu mengurangkan persepsi terlalu terikat dengan PAS serta membuka ruang mendekati pengundi sederhana dan bukan Melayu.
“Bagaimanapun, perubahan itu tidak mencukupi tanpa calon, dasar dan mesej lebih inklusif,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Muhyiddin umum Bersatu akan meletakkan calon atas lambang sendiri pada PRN Negeri Sembilan susulan kekesalan dan kekecewaan terhadap PAS yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menerusi PN.
Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, Bersatu tidak pernah menggunakan lambang sendiri untuk bertanding PRU, PRN atau PRK.
Pada PRU14, semua calon Bersatu termasuk pengasasnya Dr Mahathir Mohamad bertanding atas tiket PKR dan atas lambang Pakatan Harapan (PH) ketika PRK Semenyih dan Tanjung Piai.
Sementara itu, pada PRU15 dan PRK selepas PRU 2022, Bersatu menggunakan lambang PN dan sering didakwa terlalu bergantung jentera PAS, antara dakwaan dibuat Presiden PAS Hadi Awang.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berpandangan langkah itu sebagai usaha Bersatu lari dominasi naratif PAS yang berpotensi menembusi kelompok pengundi bandar, kelas menengah dan bukan Melayu.
Namun penganalisis dari Global Asia Consulting itu memberi amaran langkah itu berisiko kerana Bersatu masih berdepan cabaran dari segi kekuatan jentera, sumber dan sokongan akar umbi.
“Lambang sendiri mungkin memberi ‘nafas’ jangka pendek, tetapi bagi menghadapi PRU16 dan PRN akan datang, Bersatu perlu membina gabungan lebih luas serta berdaya saing,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan keputusan Bersatu menggunakan lambang sendiri memberi fleksibiliti untuk menentukan jumlah kerusi ditandingi.
“Bersatu boleh bertanding lebih banyak kerusi.
“Tak lagi terikat dengan pembahagian kerusi menggunakan lambang PN,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.