Pada usia kita hari ini ketika menyebut nama tuhan, apakah kita benar-benar memahami maksud yang kita sebut?

Sebelum anda membaca tulisan ini sampai habis, saya ingin membuat satu penegasan bahawa perbincangan kita kali ini bukanlah tentang akidah. Tulisan ini bukanlah sebuah percubaan untuk mentafsir zat tuhan atau membahaskan perkara ketuhanan daripada sudut ilmu agama. Saya sekadar ingin mengajak kita merenung satu perkara dengan rasa yang sangat tenang, iaitu batas imaginasi manusia ketika cuba memahami konsep tuhan dan ketuhanan.
Begini, apabila menyebut nama tuhan, apakah yang sebenarnya kita bayangkan? Sejak kecil lagi saya sudah cuba membayangkan apa sahaja perkara ghaib yang diterangkan kepada saya. Saya percaya hampir semua kita pernah melalui fasa itu. Kita membayangkan ‘lepak’ di dalam syurga bersama bidadari dan kita membayangkan panas api neraka. Kita juga membayangkan malaikat. Kita membayangkan bagaimana rupa iblis, syaitan dan jin. Dan ya, kita juga cuba membayangkan tuhan.
Kita pun bertanya tuhan tinggal di mana, bagaimanakah rupanya dan jika dia itu bersifat maha besar, apakah makna besar itu? Soalan seperti itu lahir secara semula jadi daripada fikiran seorang kanak-kanak. Kita cuba membayangkan, kalaupun tidak mempersoalkan ‘rupa’ tuhan, kerana cara kita belajar memahami sesuatu bergantung kepada benda yang boleh dilihat, disentuh dan dibandingkan dengan deria pancaindera kita.
Apabila meningkat dewasa, soalan kita telah berubah. Kita mungkin tidak lagi bertanyakan rupa tuhan. Apatah lagi, kita diajar supaya tidak menyekutukan tuhan. Apa sahaja kita bayangkan bermaksud menyamainya dengan makhluk ciptaannya sendiri dan hukumnya syirik. Kita jadi takut membayangkan rupa tuhan kerana syirik adalah satu-satunya dosa yang tak diampunkan tuhan sekiranya kita mati tanpa bertaubat. Kerana itu kita mengelak.
Sebaliknya, kita mula bertanya soalan lain seperti mengapa sesuatu itu berlaku dan mengapa tuhan berbuat sebegitu. Mengapa ada kematian? Mengapa ada penderitaan? Mengapa ada orang seakan-akan dibiarkan terus bergelumang dengan kesusahan? Mengapa doa kita tidak terasa dimakbulkan, sebaliknya kita memperoleh apa yang tidak kita inginkan? Soalan-soalan ini semakin berubah seiring dengan perjalanan hidup yang kita tempuh.
Semakin meningkat usia, semakin saya sedar bahawa inilah proses pemahaman yang berlaku. Kita sebenarnya tidak mampu membayangkan sesuatu yang langsung kita tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Seorang yang dilahirkan tanpa penglihatan tidak mungkin mampu membayangkan bagaimana ‘rupa’ sebenar warna merah. Kita yang cukup sifat ini juga, saya fikir, tidak benar-benar mampu membayangkan apakah definisi sebenar ‘infiniti’. Seperti kita bertanya, apakah penghujung nombor? Atau di manakah berakhirnya galaksi? Akal kita seolah-olah berhenti di situ. Begitulah juga apabila kita cuba memahami tuhan. Ia seakan kita berada di bawah siling. Kita mendongak setinggi-tingginya, tetapi tidak mampu menembusinya. Akhirnya kita jatuh terduduk di lantai.
Lalu, yang terdaya ialah kita hanya meminjam pengalaman kita sebagai manusia. Kita memahami kasih sayang kerana kita pernah disayangi. Kita memahami keadilan kerana kita pernah dizalimi atau melihat keadilan ditegakkan. Kita memahami panjang kerana kita nampak yang pendek. Maknanya, kita cuba memahami perkara yang besar melalui pengalaman kita yang kecil.
Agaknya sebab itulah kitab-kitab suci agama-agama samawi lebih banyak mengajak kita memerhatikan alam untuk mengenal tuhan daripada mengajak kita membayangkan bagaimana rupa tuhan.
Dalam al-Quran misalnya, untuk melihat keesaan Allah, kita diajak memerhatikan langit dan bumi serta seisinya, termasuklah melihat ke dalam diri sendiri. Itulah yang dianjurkan dalam Surah Adz-Zariyat ayat 20 dan 21.
Dalam kisah Nabi Musa pula, kita dapat melihat bagaimana baginda memohon agar Allah menunjukkan wajah-Nya. Namun, Allah memerintahkan Nabi Musa melihat ke arah Bukit Tursina. Lalu apabila Allah menzahirkan sedikit daripada kebesaran-Nya kepada bukit tersebut, bukit itu hancur dan Nabi Musa pengsan. Peristiwa itu memberi isyarat kepada kita betapa lemahnya manusia. Tidak tertanggung ilmu yang dihimpunkan seluruh dunia sekali pun untuk membolehkan pancaindera kita melihat zat tuhan. Malah, bagaimana hendak membayangkannya sedangkan anggota penglihatan dan keupayaan membayangkan itu sendiri bukan milik mutlak kita, sebaliknya semuanya adalah kurniaan-Nya.
Pada sisi lainnya pula, saya fikir pengalaman hidup kita sendirilah yang akan mempengaruhi cara kita ‘melihat’ tuhan. Seorang anak yang membesar dalam keluarga penyayang mungkin lebih mudah merasakan kasih sayang tuhan. Seorang yang melalui kehidupan yang keras mungkin akan mempertikaikan keadilan takdir tuhan. Laluan hidup menjadikan kita melihat perkara yang sama daripada sudut berbeza.
Tuhan mungkin tetap begitu kedudukannya, tetapi sudut pandang kita yang menjadikan tuhan kelihatan berbeza. Kita berprasangka seolah-olah tuhan melihat dunia sebagaimana kita melihat dunia. Seolah-olah rahmatnya seluas rahmat yang kita fahami. Seolah-olah keadilannya sama seperti ukuran keadilan yang kita gunakan sesama manusia. Bukankah itu juga satu bentuk keterbatasan imaginasi? Soalan-soalan pelik yang kita tanyakan seperti ‘jika tuhan itu berkuasa, bolehkah dia mencipta sebiji batu yang dia sendiri tak boleh angkat’ itu kita rasakan bijak macamlah tuhan tak pernah ‘terfikir’ itu semua akan ditimbulkan oleh makhluk ciptaannya. Kerana itulah saya semakin faham bahawa ilmu mempunyai sempadan. Akal juga ada lelangitnya. Mungkin sebab itu orang yang benar-benar berilmu akan bersifat tawaduk dan tidak mengaku tahu segala-galanya.
Agaknya kita tidak perlulah membayangkan tuhan. Sebaliknya mengenalinya melalui petunjuk yang telah diberikan. Dan apabila kita mula mengenalinya, barulah kita sedar mengapa kita sangat memerlukan tuhan dengan sebenar-benar ikhlas. Bukan lagi untuk dibayang-bayangkan dan bukan pula meminta yang bukan-bukan daripadanya.
Agak sukar untuk saya menutup bicara kali ini kerana semakin kita membuka satu lapisan, semakin banyak lagi lapisan yang kita temui. Dan setiap lapisan itu akan mengemukakan persoalan-persoalan yang baharu. Mungkin memang tidak semua persoalan perlu dijawab. Tetapi cukup untuk menyedarkan kita bahawa imaginasi manusia mempunyai batas.
Dan mungkin, kesedaran tentang batas itulah yang menjadikan kita semakin faham. Kita faham bahawa betapa kecilnya kemampuan kita untuk memahaminya rata-rata dan menyeluruh.
Soalan terakhir saya, pada usia kita hari ini – ketika menyebut nama tuhan, apakah kita benar-benar memahami maksud yang kita sebut atau kita hanya sekadar menyebut nama dan masih mengelak untuk membayangkannya ‘rupanya’? Jika ya, sampai bila? Bukankah ilmu tak pernah habis jika makin digali? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.