Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata writ saman dan penyataan tuntutan terhadap ketua penerangan Bersatu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Wan Saiful berkata, writ saman dan penyataan tuntutan terhadap Tun Faisal difailkan peguamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Beliau mengarahkan peguamnya memfailkan saman itu kerana Tun Faisal enggan memenuhi tuntutan selepas tiga surat dihantar.
“Pada 3 Dis 2025, peguam saya menghantar satu surat kepada Tun Faisal susulan kenyataan fitnah yang dia keluarkan terhadap saya dalam satu podcast ‘The Tiger Show’ pada 31 Okt 2025.
“Dalam surat itu, antara lainnya saya menuntut supaya Tun Faisal menarik balik, memohon maaf dan membayar ganti rugi RM10 juta atas kesalahan memfitnah saya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Wan Saiful, pada 12 Jan lalu peguam Tun Faisal membalas surat itu dan menyatakan bahawa Tun Faisal enggan memenuhi tuntutan beliau.
Katanya, peguam beliau membalas surat tersebut pada 2 Mac dan menghantar satu lagi surat bertarikh 7 Julai meminta Tun Faisal mencadangkan bentuk penyelesaian yang substantif.
“Oleh kerana sehingga hari ini beliau tidak membalas atau memberi apa-apa cadangan, saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan tindakan mahkamah yang tegas di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.
Wan Saiful berkata, kenyataan Tun Faisal berkait program Jana Wibawa adalah fitnah dan palsu serta mencemarkan nama baik beliau serta Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.