Pemimpin PH kata keadaan di Perak dan Pahang tidak sama dengan Negeri Sembilan, walaupun BN tidak lagi dilihat sebagai 'rakan setia'.

Walaupun BN-PN diuar-uarkan akan meneruskan kerjasama pada pilihan raya akan datang, Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa mengingatkan bahawa situasi politik Perak tidak sama dengan Negeri Sembilan.
“Setakat ini tiada masalah di Perak,” katanya kepada FMT, sambil menarik perhatian kepada kerjasama PH-BN di peringkat persekutuan yang masih terjalin di sebalik perkembangan di Negeri Sembilan.
“Kerajaan perpaduan persekutuan setakat ini kekal tapi ini bukan bermakna BN setia. Mereka ambil kesempatan atas naratif ketuanan Melayu yang dijual oleh PN.”
PH dan BN bersama membentuk kerajaan Perak menyusuli PRU15. Jawatan menteri besar diserahkan kepada Umno, walaupun PH meraih jumlah kerusi terbanyak, iaitu 24 berbanding sembilan di tangan BN.
Timbalan Pengerusi PH Pahang, Fadzli Ramly, senada. “Di DUN Pahang, pihak yang selalu menghina dan mengeji dasar kerajaan negeri adalah PN.”
Beliau menarik perhatian kepada langkah PH memberi laluan kepada BN untuk PRK Tioman pada 2022 dan PRK Pelangai pada 2023, malah berkempen sehingga menang.
“Sepanjang PH Pahang bersama BN, kita menunjukkan semangat muafakat yang cukup tinggi, bukan sahaja di peringkat pentadbiran tetapi juga dalam arena politik.”
Fadzli bagaimanapun akui rasa terkilan melihat Umno bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan, yang ditadbir PH sejak 2018.
Di Pahang, BN memilih PH untuk membentuk kerajaan kerana PH sedia bekerjasama tanpa syarat, bagi merungkai kebuntuan politik apabila tiada parti peroleh bilangan kerusi secukupnya untuk menubuhkan kerajaan secara bersendirian. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.