Sentimen boleh membakar sebuah kempen, tetapi hanya muafakat boleh menanggung sebuah kerajaan.

Perkauman kini datang dalam dua rupa, yang melaungkannya dan yang menyamar sebagai penentangnya. Berita sebenar Negeri Sembilan bukan siapa menang, tetapi adalah perkauman kita telah bertukar wajah. Kini lebih kemas, lebih sopan, dan kerana itu lebih sukar dikenali. Selepas setiap kekalahan, pihak yang tewas berkata perkara sama iaitu kami berkempen atas kerja, lawan bermain isu perkauman. Bunyinya mulia, dan separuh benar. Tetapi soalan “siapa bermain isu perkauman?” sudah membosankan kerana jawapannya sentiasa pihak lawan.
Dinamika baru perkauman
Cuba kita tukar kepada tiga persoalan lebih jujur. Pertama — politik tidak dapat lari daripada identiti. Setiap komuniti berhak mempertahankan bahasa, agama, dan maruahnya. Memperkukuhkan identiti Melayu bukan jenayah. Ia adalah hak, sama seperti hak komuniti lain. Ibn Khaldun menyebut asabiah sebagai enjin yang membina tamadun. Yang salah bukan memperkuat identiti, tetapi asasnya yakni apabila ia dibina atas ketakutan terhadap yang lain, dan apabila ia menggantikan tadbir urus, bukan melengkapkannya. Identiti yang mencari maruah adalah sah. Identiti yang mencari musuh ini merosakkan.
Kedua — ada dua wajah perkauman, dan kita hanya kenal yang pertama. Wajah pertama, perkauman terbuka, masuk terang-terangan dengan laungan “bangsa dan agama terancam”. Ia mengangkat dan melaungkan kaum. Maka ia mudah dikesan. Yang kedua, perkauman bertopeng di mana ia tidak melaungkan kaum sendiri. Ia menuding kepada puak lawan, dengan bahasa “kita mesti bersatu menentang mereka yang memecahbelahkan”. Ia tidak meninggikan kaum sendiri, tetapi ia merendahkan kaum lawan. Bunyinya bukan perkauman, tetapi seperti penentangnya. Tetapi, kedua-dua ini membawa ke tempat yang sama, iaitu satu kaum dikerah melalui ketakutan terhadap kaum lain. Dan inilah bahayanya. Perkauman terbuka itu pahit, jadi mudah ditolak. Perkauman bertopeng disalut gula, dengan bahasa kesatuan dan kesederhanaan. Jadi, ia ditelan tanpa curiga. Tetapi, racun bergula tetap racun. Justeru, kerana manis, ia lebih berbahaya. Ia lulus setiap pemeriksaan yang direka untuk mengenal pasti perkauman lama.
Maka, apabila ada pihak berkata ia “hanya berkempen atas prestasi”, itu mungkin benar. Tetapi apabila berbangga pula dengan nisbah pengundi bukan Melayu mereka masih meyakinkan, itu bukan bahasa prestasi, tetapi itu bahasa perkauman juga. Maka, perbezaan sebenar bukan antara yang bermain isu kaum dan yang berkempen atas prestasi. Kedua-duanya perkauman. Bezanya adalah yang terbuka mengaku namanya, tetapi yang bertopeng menamakan dirinya sesuatu yang lain.
Pengukuhan identiti bukan penyakitnya, tetapi salah urus tadbir
Jangan salah faham kemenangan ini. Politik identiti bukan barah asing dalam sejarah kita. Ia adalah darah dagingnya. Formula 1957 sendiri dibina atas identiti di mana parti mewakili setiap kaum, tetapi bermuafakat di puncak. Identiti dan akomodasi, serentak. Yang merosakkan bukan identiti, tetapi salah urus terhadapnya apabila ia bertukar daripada asas perwakilan kepada alat ketakutan. Maka, kemenangan ini bukan negara jatuh ke lubang lama; ia persimpangan. Menolak label “politik kebencian”. Di sini, kita perlu adil kepada pihak yang menang.
Sudah menjadi kebiasaan pihak yang kalah menjenamakan kemenangan lawan sebagai “politik kebencian”. Tetapi, label itu sendiri satu perkauman bertopeng — cara menolak kesah undi majoriti dengan menyifatkannya sebagai berunsur kebencian.
Pengundi yang memilih pemenang bukan pembenci. Mereka mengundi atas sesuatu yang sah, iaitu keinginan kepada perwakilan yang mendengar mereka, kebimbangan tentang kedudukan yang terpinggir, harapan kepada kepimpinan yang memahami. Ini bukan kebencian; ini keinginan kepada maruah. Menamakannya “kebencian” bukan sahaja tidak adil kepada jutaan rakyat, ia juga satu tindakan memecahbelahkan, membahagi rakyat kepada yang baik dan yang jahat mengikut undi mereka. Yang menang bukan kebencian, tetapi keinginan sebuah komuniti kepada maruah dan perwakilan. Ini sah dan sepatutnya diraikan.
Muafakat perlu nama dan struktur
Satu realiti yang perlu diakui adalah kemenangan ini dibina bukan atas manifesto bersama, tetapi persefahaman senyap antara dua bekas seteru bermuafakat tanpa nama. Ia berfungsi. Inilah buktinya di mana muafakat, walau senyap, tetap daya yang menentukan. Tetapi, persefahaman yang memenangi pilihan raya belum bermakna muafakat yang memerintah negeri.
Yang pertama cukup dengan satu musuh bersama; yang kedua menuntut satu agenda bersama. Kemenangan boleh dicapai dengan sentimen, tetapi memerintah adalah sukar. Maka, persefahaman itu mesti diberi nama dan struktur. Yang tidak bertulis mudah dinafikan dan yang tidak berstruktur mudah dilanggar.
Tanpanya, dua godaan menanti pemenang: pertama, kembali seperti semula sebaik musuh bersama tiada, atau kedua, berenang di dua kolam dengan melaung persefahaman di satu pentas, membisikkan sebaliknya di pentas lain. Dan kalau gagal diterjemah, pengundi yang diangkat dengan sentimen akan menuntut sentimen mereka terus dilayan dan kerajaan menjadi tawanan kepada bahan bakar yang mengangkatnya. Itu bukan kelemahan, tetapi satu bentuk ketagihan.
Maka, bagaimana untuk menanganinya? Bukan dengan mengharamkan sentimen. Undang-undang yang menyekat percakapan hanya memindahkannya ke tempat yang lebih tersembunyi. Yang perlu diubah bukan apa yang boleh dikatakan, tetapi apa yang berbaloi dikatakan. Selagi perkauman menang undi, ia akan terus laku dijual. Ia berhenti hanya apabila pengundi berhenti membelinya. Dan kos moral mesti dikembalikan, iaitu apabila pemimpin setiap kaum berani menegur perkauman dalam barisan sendiri, bukan hanya barisan lawan.
Sebagai rumusan, sentimen boleh membakar sebuah kempen, tetapi hanya muafakat boleh menanggung sebuah kerajaan. Mereka yang menang dengan sentimen kini terpaksa memerintah dengan sesuatu yang sentimen tidak pernah mampu berikan. Kemenangan ini bukan akhir bagi perpaduan, bukan juga kembalinya perkauman, dan bukan kemenangan satu kebencian. Ia satu ujian sama ada kita cukup matang mengurus identiti seperti generasi 1957 — diwakili dan dimuafakatkan — atau membiarkannya disalah urus sebagai alat untuk menakut-nakutkan. Pilihan itu di tangan kita. Dan sejarah menunjukkan kita pernah memilih dengan betul. - FMT
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.