`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, August 3, 2026

NUTP gesa mekanisme nilai pentadbir sekolah

 Menurut kesatuan, langkah itu penting bagi memastikan iklim kerja di sekolah tidak terjejas akibat tindakan pentadbir bermasalah.

NUTP berkata, semua aduan guru perlu dihalusi dan ditangani dengan bijaksana supaya emosi guru sentiasa terjaga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan satu mekanisme khas bagi mengkaji dan menilai tahap profesionalisme pentadbir sekolah.

Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata, langkah itu penting bagi memastikan iklim kerja yang kondusif di sesebuah sekolah tidak terjejas akibat tindakan sesetengah pentadbir yang bermasalah sehingga menimbulkan tekanan kepada warga pendidik.

Menurutnya, semua aduan guru perlu dihalusi dan ditangani dengan bijaksana supaya emosi guru sentiasa terjaga.

“Malah tindakan tegas wajar diambil kepada pentadbir yang bermasalah ini daripada menyebabkan tekanan kepada keseluruhan sistem dan iklim sekolah,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Fouzi turut menyatakan pendirian konsisten kesatuan itu yang mahukan tugas-tugas tidak relevan serta tidak memberikan impak kepada kemenjadian murid dihapuskan serta-merta.

Tambahnya, wakil kesatuan di setiap sekolah sentiasa bersedia menjadi saluran rujukan dan bantuan kepada mana-mana guru yang berdepan tekanan emosi.

Gesaan itu susulan kejadian seorang guru wanita yang ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Hulu Selangor Manimaran Muniandi dilaporkan berkata, pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.15 pagi semalam dan kini memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.