Kita dapat lihat Amerika Syarikat berusaha mendapatkan bekalan berharga iaitu minyak tetapi tidak pandai berunding.

Ada satu cerita yang masyhur dalam kalangan rakyat Iran. Ia adalah kisah seseorang yang ingin membeli ais dan cuai dalam tawar-menawar dengan penjualnya. Si pembeli menyangka dia punya masa yang banyak, akan tetapi fitrah negosiasi itu adalah mengenai satu barang berharga, yakni ‘ais’. Dan kita tahu ‘ais’ tidak punya jangka hayat lama. Ia akan mencair. Bahkan lebih lama tawar-menawar berlaku, maka lebih banyaklah si penjual ais kehilangan sabarnya. Si penjual ais tidak mahu kerugian, dan tentu ia akan memilih untuk beredar meninggalkan meja rundingan.
Demikianlah keadaan yang menimpa Amerika Syarikat. Donald Trump menyangka negaranya, AS mempunyai banyak kelebihan untuk tawar-menawar dengan Republik Islam Iran. Maka rundingan di Islamabad, Pakistan, yang berlangsung antara Iran dan AS pada 11 dan 12 April itu dibuat permainan. Utusan yang dikirim AS bukanlah diplomat yang berpengalaman. Kehadiran mereka malah ditertawakan. Mereka yang diterbangkan oleh Washington adalah Naib Presiden AS, JD Vance, yang dianggap mentah dalam politik, bersama Steve Witkoff utusan khas Trump, dan menantunya sendiri, Jared Kushner. Rakyat AS sendiri menganggap mereka ini sebagai pemodal dan ejen hartanah.
Gerard Araud, diplomat Perancis berpengalaman dan biasa berurusan dengan Iran menyatakan tatkala berunding dengan Iran, seseorang memerlukan kesabaran dan iltizam yang tinggi. Ia selalunya melibatkan ratus jam negosiasi, di mana setiap patah perkataan dan ayat dibaca dan dibaiki berulang kali. Menurut Araud, negosiasi dengan Iran itu sendiri adalah satu medan tempur yang memerlukan kecekatan dan kecekapan luar biasa. Tambah jika ‘perkara yang akan dirundingi’ adalah ‘ais’.
Iran, harus kita fahami adalah sebuah peradaban besar, dan telah lama wujud. Jauh sebelum kewujudan AS, pada abad ke-13, seorang ahli falak dan filsuf Parsi tersohor bernama Nasir al Din at Tusi (1201-1274) menulis sebuah dokumen mengenai kewangan. Sekiranya kita merujuk kepada memorandum At Tusi ini kita akan terkejut dengan tips dan petua yang diturunkan oleh beliau. Khusus dalam keadaan sekarang. Ini kerana At Tusi menulis memorandum kewangan beliau itu ketika Parsi dan Baghdad sedang berdepan dengan landaan kuasa besar ketika itu; Mongul. Memorandum At Tusi ini terpakai sehingga kini.
Dalam terjemahan memorandum At Tusi yang dilakukan oleh profesor besar Ironologi, Profesor V Minorsky terbit pada tahun 1964, dinukilkan yang At Tusi berpesan, untuk mempertahankan kedaulatan negara ia akan dilakukan oleh pertama dengan tentera (pedang); kedua, dengan pena (diplomat).
Ini bermakna, dalam kerangka dan sarwa pandang Iran sejak lama dahulu, perang itu terdiri dalam dua bentuk. Iaitu dengan peluru, mahupun dengan pena. Pendek kata, seorang diplomat itu sendiri adalah tentera. Di dalam parit kombat, mahupun di meja rundingan; kedua-duanya dianggap medan tempur.
At Tusi menggariskan kualiti seorang panglima tentera. Pertamanya, seorang komander dikehendaki jangan berbalah dengan komander lainnya. Kedua, komander mestilah sehati sejiwa dengan Pemimpin. Ketiga, komander hanya akan mendengar perintah Pemimpin. Terakhir, seorang komander mestilah nekad dalam perang dan dilatih semua ilmu perang. Maka kita ketahui bagaimana duduk letak IRGC, tentera elit Iran hari ini. Mereka berdisiplin, dan memiliki moral terhormat.
Pemimpin pula dikehendaki memenuhi keperluan tentera iaitu pertama, diberi serba cukup keperluan hidup. Kedua, tentera yang tinggi pangkatnya perlu diberi letak duduk medan yang sesuai dengannya, demikian juga dengan tentera yang rendah pangkatnya. Ketiga, pemimpin diminta menyantuni tentera, dan jika mereka terkorban diminta memberikan yang terbaik kepada keluarganya. Keempat, mereka juga akan diberikan habuan perang yang sesuai.
Pemimpin pula dipesan agar sentiasa memastikan tenteranya dalam keadaan siaga, memerhatikan kemungkinan musuh muncul tiba-tiba, selain tidak memperkecilkan musuh yang dianggap lemah, dan tidak boleh meninggalkan medan. Inilah kualiti yang kita lihat ada pada Rahbar atau ‘supreme leader’ Iran. Baik Ayatollah Khomeini, Ayatollah Ali Khamenei dan sekarang Ayatollah Mojtaba Khamenei.
Untuk tentera di medan rundingan, atau mereka dengan pena, At Tusi berpesan mereka juga perlu memiliki kualiti yang serba cukup. Seorang yang berjuang dengan pena, sang diplomat itu hendaklah beragama; seorang sarjana (dalam hal hari ini tentu sahaja memiliki kelayakan pendidikan yang tinggi); pernah atau masih menjawat peranan yang tinggi dalam negara seperti hakim, menteri dan sebagainya; dan terakhir seorang pakar kewangan atau mereka yang menjaga perbendaharaan.
Maka tidaklah sukar memahami dalam hal negosiasi dengan Amerika Syarikat, Iran menghantar Mohammad Baqer Qalibaf, speaker parlimennya; Menteri Luar Abbas Araghchi, dan Gabenor Bank Negara, Abdolnaser Hemmati, berserta Setiausaha Majlis Keselamatan Ali Akbar Ahmadian.
At Tusi dalam memorandum beliau juga menegaskan fungsi perjanjian itu hanya ada empat. Ia adalah untuk memelihara jalan Tuhan Yang Maha Esa dalam kalangan manusia agar tidak mengalami perubahan; ia bertujuan untuk menzahirkan berita yang tersembunyi; perjanjian nanti berfungsi sebagai catatan kata-kata (yad-dihad) supaya tidak dilupakan; dan ia untuk memelihara kebenaran dalam kalangan manusia.
Membaca, memahami dan meneliti produk peradaban Iran ratus malah ribu tahun lalu maka tidaklah menghairankan jika nanti kita akan mendapati Iran meninggalkan meja negosiasi dengan AS ini. Trump diketahui seorang pengkhianat, pembohong dan tidak pernah mengotakan janjinya. Paling tidak itulah yang dialami oleh Iran beberapa kali.
Utusan atau wakil Iran di meja rundingan tidak akan menari gelek-gelek dengan musuh tentunya. Diplomasi Iran berbeza. Kita tidak akan melihat pemimpinnya seperti pemimpin UAE mencebur anak gadis mengerbangkan rambut seperti polong kuntilanak. Juga kita tidak akan melihat pemimpinnya menari-nari dengan adik-adik berbaju warna-warni warisan dihiasi bunga manggar dan taburan bunga rampai. Nauzubillah.
Di atas semua catatan dan petua rundingan yang diketengahkan oleh At Tusi ini tentulah ada firman Tuhan. Maka di meja perbincangan mahupun di dalam parti pertempuran, akan ada Surah al-Fath ayat 29 terngiang. Iaitu yang menyatakan bahawa orang beriman bersikap keras terhadap orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka, serta Surah at-Taubah ayat 73 yang memerintahkan Nabi Muhammad untuk berjihad dan bersikap keras terhadap orang kafir dan munafik.
Maka kita tahu, kalau peperangan disambung lagi minggu ini; kita akan melihat sekali lagi Iran mara melawan AS dengan berani, dan akan menebas musuh munafik dalam kalangan negara jirannya yang bersekongkol dengan Zionis di belakang tabir.
Kita hidup dalam zaman yang menarik dan penuh pengajaran. Kita dapat melihat AS berusaha mendapatkan bekalan berharga iaitu minyak, tetapi tidak pandai berunding. Untuk berbincang dan tawar-menawar dengan saudagar minyak, mereka tidak boleh berperangai seperti pembeli ais. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.