`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, July 10, 2026

EAIC syor kelulusan kewarganegaraan 7 pemain naturalisasi dikaji semula

 Pasukan petugas kesan beberapa kepincangan termasuk pengeluaran permit masuk, temu duga dan tapisan keselamatan serta ujian bahasa Melayu.

malaysia menentang vietnam
FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan tindakan oleh Fifa tahun lalu, selepas badan induk bola sepak dunia itu dapati FAM kemuka dokumen palsu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan agar kelulusan kewarganegaraan yang diberikan kepada tujuh pemain naturalisasi Harimau Malaya dikaji semula selepas pasukan petugas mengesan beberapa kepincangan dalam proses tersebut.

EAIC berkata, pasukan petugas itu mendapati, walaupun menteri dalam negeri mempunyai kuasa budi bicara untuk meluluskan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, syarat-syarat bagi kelulusan khas itu telah dipertimbangkan dalam ‘tempoh yang sangat singkat’ dan secara tidak teratur.

Kepincangan tersebut merangkumi pengeluaran permit masuk, temu duga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen, serta ujian kecekapan bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai sebahagian proses kelulusan kewarganegaraan, katanya.

Suruhanjaya itu mengenal pasti ketidakpatuhan dalam proses pengesahan bahawa pemohon telah dilepaskan daripada kewarganegaraan negara asal mereka oleh pihak berkuasa asing yang berkaitan, selain kegagalan memastikan pasport asing asal mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

EAIC turut menggesa agar prosedur operasi standard (SOP) khusus diwujudkan bagi mengawal selia kelulusan kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2), termasuk garis panduan yang lebih jelas berhubung pelaksanaan kuasa budi bicara menteri, pelepasan wajib kewarganegaraan terdahulu, dan tapisan keselamatan yang lebih ketat.

“EAIC berpandangan pemerolehan kewarganegaraan secara penaturalisasian adalah satu perkara yang melibatkan kepentingan dan keselamatan negara, oleh itu SOP yang berkuat kuasa perlu dipantau untuk dipatuhi secara ketat oleh Jabatan Imigresen dan JPN,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu turut mengesyorkan agar JPN memperkenalkan garis panduan yang mengawal selia kuasa budi bicara ketua pendaftar dalam mengeluarkan sijil kelahiran di bawah Seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, bagi memastikan budi bicara tersebut hanya dilaksanakan selepas proses usaha wajar yang rapi dan dengan bukti mencukupi bahawa sesuatu kelahiran itu telah berlaku.

Oktober lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan tindakan oleh Fifa selepas badan induk bola sepak dunia itu mendapati FAM mengemukakan sijil kelahiran palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun tahun lepas.

Siasatan Fifa mendapati dokumen palsu telah digunakan untuk mendakwa bahawa setiap pemain mempunyai datuk atau nenek yang lahir di Malaysia, walaupun mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

Pemain terbabit terdiri Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Selain mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) ke atas FAM, Fifa turut mendenda setiap pemain 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) dan menggantung mereka selama 12 bulan.

Pada Mac, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan sebahagian rayuan yang dikemukakan oleh ketujuh-tujuh pemain tersebut, memutuskan bahawa penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi, bukan semua kegiatan berkaitan bola sepak.

Panel tersebut mendapati penggantungan 12 bulan kerana memalsukan dokumen merupakan hukuman yang munasabah dan setimpal bagi pemain terbabit, memandangkan mereka turut bersubahat dalam penipuan berkenaan.

CAS turut menolak rayuan FAM berhubung denda yang dikenakan oleh Fifa, menyifatkan hukuman itu sebagai wajar serta setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.