Keluarga mangsa juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap guru yang terlibat sekiranya hasil siasatan polis tidak memuaskan.
BUTTERWORTH: Kertas siasatan berhubung kes M Vasanthapiriya, 13, yang meninggal dunia awal pagi ini selepas ditemukan dalam keadaan tergantung Rabu lepas, dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata kertas siasatan itu dihantar hari ini selepas polis melengkapkan siasatan termasuk memanggil dan mengambil keterangan guru yang terlibat.
“Polis telah merekodkan keterangan beberapa saksi termasuk guru wanita yang terlibat dalam kejadian itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan. Jadi kami tunggu arahan dan tindakan selanjutnya daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.
Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi tadi selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat menggantung diri di rumahnya pada Rabu lalu.
Mendiang dikatakan berbuat demikian selepas dituduh mencuri telefon pintar milik seorang guru wanita di sekolahnya.
Sementara itu, keluarga mendiang mendakwa mereka tidak menerima sebarang penjelasan daripada pihak polis mahupun Pejabat Pendidikan Daerah berhubung siasatan kes.
Presiden Malaysia Tamilat, Kural P David Marshel yang menjadi jurucakap keluarga mangsa, berkata pihaknya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap guru yang terlibat sekiranya hasil siasatan polis tidak memuaskan.
Ibu saudara mangsa, A Lalitha, 43, pula meluahkan rasa kesal dengan tindakan terburu-buru guru terbabit yang didakwa turut bertindak memukul Vasanthapiriya di depan pelajar lain.
“Anak saudara saya seorang yang peramah, penyayang. Dia malu dituduh mencuri, sebab dia tak buat. Cikgu pun kalau jadi macam tu sepatutnya bincang dengan ibu bapa dahulu.
“Ini tidak, anak saudara saya didera, dipukul di depan pelajar lelaki, memang dia malu sangat, sebab itu dia ambil tindakan macam itu (menggantung diri),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan hari ini.
Hasil bedah siasat yang dijalankan hospital mengesahkan kematian Vasanthapiriya adalah disebabkan gantung (gantung diri). -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.